AM > BERITA

20,000 CCTV DIPERLUKAN BAGI PEMANTAUAN JENAYAH, LALU LINTAS DI KL - AHMAD ZAHID

15/07/2024 05:24 PM

 

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memerlukan sekurang-kurangnya 20,000 unit kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di seluruh ibu negara untuk memantau kadar jenayah dan masalah kesesakan jalan raya.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata buat masa ini, terdapat 5,000 unit CCTV yang dipasang di seluruh bandar raya ini bagi pemantauan jenayah dan kesesakan lalu lintas.

Bagaimanapun, beliau berkata pemasangan CCTV itu tidak boleh dilaksanakan secara silo (sendirian) oleh DBKL, sebaliknya memerlukan kerjasama kementerian, jabatan dan agensi khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Untuk itu, DBKL diberikan tanggungjawab mencari peruntukan memasang, memantau dan melakukan pemantauan. Ini penting pada hemat kami bahawa DBKL dengan kerjasama jabatan dan agensi ini memerlukan sekurang-kurangnya 20,000 unit CCTV, ertinya dalam tempoh sekarang hingga RMK13 (Rancangan Malaysia Ke-13) usaha ini mesti dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JKMKKJR) Bilangan 2 Tahun 2024 di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi JKMKKJR berkata usaha itu juga dilihat sebagai langkah modern policing bagi mengurangkan keberadaan (omnipresence) pegawai-pegawai dan anggota beruniform di bandar raya ini.

“Kita belajar daripada bandar pintar dan bandar selamat di negara lain dengan adanya CCTV berdefinisi tinggi (HD), pengecaman wajah, maka kadar jenayah, kemalangan dapat diturunkan dan juga masalah pemantauan aktiviti lain tanpa mengusik hak-hak peribadi seseorang,” katanya.

Menyentuh mengenai penyuraian kesesakan trafik di Johor Bahru, beliau berkata beberapa kajian dan langkah akan segera dilakukan kementerian terlibat memandangkan projek Rapid Transit System (RTS) yang menghubungkan Bukit Chagar ke Woodlands, Singapura akan disiapkan pada 2027 bagi merealisasikan rancangan Greater Johor Bahru.

“Kajian segera mesti dilakukan bagi penyuraian kesesakan jalan raya ini dan beberapa langkah telah dilakukan dengan kerajaan negeri, kementerian dan jabatan peringkat nasional. Kita cadang ia dilakukan sebelum pelaksanaan kepada penyuraian setelah RTS ini disiapkan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata mesyuarat turut membincangkan mengenai cadangan penetapan kelajuan maksimum 30 kilometer sejam (km/j) di kawasan sekolah.

“Purata kematian ialah 67 kematian setiap tahun di kawasan sekolah. Cadangan oleh jawatankuasa ini adalah untuk menurunkan had laju kepada 30 km/j (berbanding 40 km/j ketika ini) di kawasan sekolah.

“Pembinaan bonggol juga perlu disediakan tanpa melibatkan peruntukan tambahan daripada kementerian tetapi pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pihak sekolah boleh bekerjasama melakukannya,” kata beliau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan