AM > BERITA

LEBIH 2,300 HEKTAR KAWASAN LAPANG DI IBU NEGARA DIPERUNTUKKAN KAWASAN HIJAU

16/07/2024 01:46 PM

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Seluas 2,393.79 hektar kawasan lapang di ibu negara diperuntukkan sebagai kawasan hijau setakat ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa memberitahu persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata daripada keluasan itu, sebanyak 977.55 hektar tanah telah diwartakan, manakala 1,416.24 hektar tanah lapang yang berpotensi akan dan sedang dalam proses diwartakan.

"Taman Persekutuan Bukit Kiara, Taman Rekreasi Bukit Kerinchi, Taman Tasik Metropolitan Kepong, Taman Tasik Pudu Ulu dan Taman Tasik Titiwangsa juga merupakan kawasan lapang dan rekreasi di Kuala Lumpur yang diwartakan bagi kegunaan orang ramai," katanya pada sesi soal jawab.

Beliau menjawab soalan tambahan P. Prabakaran (PH-Batu) yang ingin tahu perkembangan taman-taman awam dan hutan simpan di Kuala Lumpur serta strategi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam menyasarkan nisbah 20 meter persegi kawasan tanah lapang berpenduduk dijadikan sebagai kawasan hijau.

Dr Zaliha berkata seluas 68.26 hektar kawasan hijau di ibu negara telah diwartakan sebagai hutan simpan iaitu Hutan Simpan Bukit Nanas, Hutan Simpan Bukit Sungai Puteh, Hutan Simpan Bukit Sungai Besi dan Hutan Simpan Bukit Lagong (Tambahan).

"Kawasan diwartakan ini tidak boleh digunakan untuk sebarang aktiviti pembangunan bercampur mahupun tujuan kediaman," katanya.

Dr Zaliha berkata setiap pembangunan dicadangkan di Kuala Lumpur diwajibkan mematuhi syarat-syarat nyata DBKL antaranya perlu memperuntukkan 10 peratus kawasan lapang dalam lot pembangunan yang akan dilaksanakan.

Beliau berkata hal ini secara langsung akan meningkatkan 100 peratus kawasan rekreasi sedia ada di samping mengekalkan hutan simpan di seluruh Kuala Lumpur menjelang 2040.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan