AM > BERITA

RUU BUBAR LEMBAGA PELABUHAN BINTULU DIBENTANG DI PARLIMEN

16/07/2024 04:35 PM

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Rang Undang-undang Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) 2024 bertujuan memansuhkan Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu 1981 dan membubarkan Lembaga Pelabuhan Bintulu dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Rang Undang-undang itu dibentang Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah.

Menurut naskah biru yang disiarkan di laman Parlimen, rang undang-undang itu antara lain bertujuan mengadakan peruntukan bagi penurunan kuasa, hak, kewajipan, liabiliti dan obligasi Lembaga Pelabuhan Bintulu kepada kerajaan negeri Sarawak.

Turut dibentangkan bagi bacaan kali pertama, Rang Undang-undang Pengisytiharan suatu Kawasan dalam Daerah Bintulu menjadi suatu Port Persekutuan (Pemansuhan) 2024. 

Rang undang-undang itu dibentang bagi memansuhkan Akta Pengisytiharan suatu Kawasan dalam Daerah Bintulu menjadi suatu Port Persekutuan 1979 (Akta 217) disebabkan perubahan dasar kerajaan untuk menukar status Pelabuhan Bintulu daripada pelabuhan Persekutuan kepada pelabuhan negeri. 

Sebelum ini dilaporkan, memorandum persefahaman (MoU) berhubung penukaran status Pelabuhan Bintulu kepada Pelabuhan Negeri Sarawak telah dimeterai antara Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Timbalan Premier merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada 22 Mac lepas.

Loke dilapor berkata penukaran status pelabuhan itu mencerminkan komitmen kerajaan MADANI dalam menegakkan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan melaksanakan perkara yang terkandung di dalamnya.

“Pelabuhan Bintulu diyakini akan terus menjadi pelabuhan utama bukan saja kepada Sarawak tetapi juga Malaysia sebagai pelabuhan gas asli cecair (LNG) terulung dan dapat diperbesarkan lagi untuk menyokong industri minyak dan gas di Bintulu serta perindustrian di Sarawak,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan