KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Kebebasan Maklumat akan dibentangkan di Parlimen pada tahun depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi hantaran di laman Facebook hari ini, beliau berkata cadangan dasar bagi penggubalan RUU berkenaan dibincangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN), semalam.
"Mesyuarat bersetuju supaya RUU ini dibentangkan di Parlimen pada 2025 dengan matlamat meningkatkan ketelusan dalam perkhidmatan awam dan memastikan hak individu untuk mengakses maklumat yang berada di bawah bidang kuasa kerajaan terjamin serta terpelihara di sisi undang-undang," kata beliau.
Anwar berkata mesyuarat itu turut mengambil maklum tentang penubuhan Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara.
Beliau berkata langkah itu diambil untuk menambah baik imej dan persepsi negara berhubung tatakelola baik sektor awam di peringkat antarabangsa, khususnya dalam kalangan pelabur asing.
"Kerajaan bertekad untuk terus memperkukuhkan agenda tatakelola baik negara, meningkatkan integriti, dan memerangi rasuah, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI," kata beliau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial