AM > BERITA

FASA KEDUA PROJEK NAIK TARAF LTSIP DIJANGKA SELESAI PADA JAN 2025 - MOT

17/07/2024 09:37 AM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Fasa kedua projek menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Kota Bharu, Kelantan, dijangka selesai pada 26 Jan, 2025, kata Kementerian Pengangkutan (MOT).

Pada masa ini, projek berkenaan sedang giat dilaksanakan dengan fasa pertama yang melibatkan kerja-kerja pembinaan telah siap pada 30 April, 2024.

“Apabila projek tersebut siap sepenuhnya, terminal baharu LTSIP akan dapat menampung kapasiti sehingga empat juta penumpang setahun,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen pada Selasa.

Kenyataan MOT itu bagi menjawab pertanyaan Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) mengenai status terkini LTSIP.

Menjelaskan selanjutnya, MOT berkata selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Mei, 2024, kementerian sedang meneliti skop teknikal dan anggaran kos bagi melaksanakan usaha pemanjangan landasan di LTSIP dengan tambahan 400 meter, menjadikan keseluruhan landasan sepanjang 2,800 meter.

Langkah itu membolehkan LTSIP menampung sepenuhnya operasi pesawat dengan Kod 3C seperti Boeing 737-Max dan Airbus 321 Neo dengan jarak perjalanan sehingga lima jam.

Menurut MOT, projek itu dijangka memakan masa selama 18 bulan untuk disiapkan.

“Pelaksanaan projek naik taraf serta pemanjangan landasan ini akan memberi keselesaan kepada penumpang serta membolehkan LTSIP mengendalikan operasi penerbangan antarabangsa seperti Lapangan Terbang Kuantan dan Ipoh yang mempunyai penerbangan ke Singapura,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan