AM > BERITA

PENJAGA RAYU NISA PULANG

17/07/2024 06:53 PM

KUALA PILAH, 17 Julai (Bernama) -- Penjaga kepada Fiffy Arnatasya Abdullah, remaja yang dilaporkan hilang sejak bulan lepas, berharap gadis itu dapat pulang ke rumah bertemu keluarga angkatnya.

Siti Fatimah Mat Lazim 43, berkata seluruh keluarganya bimbang keselamatan Fiffy Arnatasya, atau dipanggil Nisa, yang tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri dan tidak dapat dikesan sejak 20 hari lepas. 

"Saya risau dia tidak membawa kad pengenalan dan duit, Nisa, kalau kasihan ibu dan wan (nenek) baliklah. Ada masalah kita boleh bincang, semua risaukan Nisa.

"Kami ada terima maklumat, dia ada di Port Dickson, kami ke sana mencarinya tapi tidak jumpa," katanya kepada pemberita di rumahnya di Juasseh di sini.

Siti Fatimah berkata Fiffy Arnatasya yang dijaganya sejak berumur tiga bulan itu mempunyai hubungan baik dengan lima anaknya dan telah dianggap sebagai anak kandung.

Media sebelum ini melaporkan polis meminta orang ramai membantu mengesan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang dilaporkan hilang di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Superintendan Amran Mohd Ghani berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kehilangan Fiffy Arnatasya, kira-kira 1 pagi, 28 Jun lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan