AM > BERITA

SIMPAN BARANG KAWALAN TANPA PERMIT, KILANG PROSES MAKANAN DISERBU

17/07/2024 05:42 PM

IPOH, 17 Julai (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merampas sejumlah minyak diesel bersubsidi, minyak masak dan gas petroleum cecair (LPG) kerana disyaki disimpan tanpa permit di sebuah kilang pemprosesan makanan di Kawasan Perindustrin Menglembu, di sini semalam.

Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata sepasukan pegawai dan anggota melakukan serbuan di premis berkenaan kira-kira 9 pagi hasil maklumat orang awam dan risikan yang dijalankan selama dua minggu.

Beliau berkata pihaknya mendapati premis berkenaan melakukan penyelewengan minyak diesel dengan menggunakan sebuah lori tangki pemborong menghantar minyak ke premis disyaki tidak mempunyai kebenaran menyimpan barang kawalan oleh Pengawal Bekalan.

"Pemeriksaan lanjut ke atas premis mendapati, ia turut menyimpan beberapa barang kawalan lain seperti minyak masak dan LPG untuk operasi kilang. 

"Hasil pemeriksaan menemukan cecair disyaki minyak diesel dengan anggaran 4,850 liter di dalam tangki lori dan di dalam sebuah tong drum, enam buah tong LPG berkapasiti 50 kilogram (kg) di dalam premis serta 102 minyak masak botol 5kg dengan nilai sitaan dianggarkan berjumlah RM92,7355," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Kamalludin berkata pemeriksaan lanjut mendapati premis berkenaan menjalankan aktiviti membungkus produk dengan menggunakan dua unit alat timbang yang telah tamat tempoh tentusah.

Susulan itu, beliau berkata satu lagi tindakan telah diambil di bawah Seksyen 14 (6), Akta Timbang dan Sukat 1972 kerana disyaki menggunakan alat timbang untuk tujuan perdagangan yang tamat tempoh tentusahnya.

Beliau berkata pembekal barang kawalan juga akan disiasat di bawah Peraturan 9 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974 kerana menjual kepada pihak tidak mempunyai kebenaran Pengawal dan menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan 21 (1) PPKB 1974.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan