AM > BERITA

UPSI SALUR BANTUAN KEPADA KELUARGA ARWAH NUR FARAH KARTINI

17/07/2024 08:25 PM

IPOH, 17 Julai (Bernama) -- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyalurkan bantuan kepada keluarga bekas pelajarnya Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah, 25, termasuk kos penginapan dan pengangkutan sepanjang tempoh mereka berada di Tanjung Malim, di sini.

Naib Canselornya Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata ia sedikit sebanyak diharap dapat meringankan beban yang ditanggung keluarga berkenaan khususnya dalam menyelesaikan urusan dengan pelbagai pihak.

“Pihak UPSI menyediakan kemudahan penginapan serta kenderaan bagi keluarga mangsa bagi memudahkan urusan ke hospital, balai polis, mahkamah dan sebagainya.

“Pihak UPSI turut menyediakan beberapa bas bagi petugas dan pelajar yang ingin mengiringi jenazah ke tanah perkuburan sebagai tanda penghormatan serta sokongan kepada Allahyarham,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Pada Isnin lepas, mayat Nur Farah Kartini yang berasal dari Miri, Sarawak ditemukan di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira 6 petang. 

Mangsa dilaporkan hilang sejak 10 Julai lepas, setelah menghantar kereta sewa kepada pelanggan.

Sementara itu, Md. Amin berkata pihaknya amat menitikberatkan nilai ukhuwah sebagai antara kaedah memastikan kebajikan setiap warga UPSI terbela.

“UPSI merupakan universiti yang unik kerana setiap warga yang mencurahkan bakti di universiti ini dianggap sebagai aset yang sangat berharga,” katanya.

Terdahulu dalam kenyataan sama, universiti itu menerusi Kolej Awang Had Salleh (KAHS) dan Pusat Islam menganjurkan majlis bacaan Yassin dan tahlil untuk Allahyarham Nur Farah Kartini yang turut disertai Md Amin serta petugas dan pelajar di Masjid Al- Mursyidin Kampus Azlan Shah di sini pagi tadi. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan