Ad Banner
 AM > BERITA

Kosma Agih RM32.54 Juta Dividen Kepada 1,495 Ahli Bermula Hari Ini

31/07/2025 12:09 PM

KUANTAN, 31 Julai (Bernama) -- Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (Kosma) mula mengagihkan dividen berjumlah RM32.538 juta bagi tahun kewangan 2024 kepada 1,495 ahlinya hari ini.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata bagi nilai unit ladang yang telah dibayar adalah sebanyak RM23.97 juta, menjadikan jumlah keseluruhan pembayaran dividen unit ladang dan saham RM56.508 juta. 

“Bagi tahun kewangan 2024, pendapatan keseluruhan Kosma yang telah diaudit mencatatkan jumlah RM290.79 juta manakala keuntungan bersih direkodkan sebanyak RM132.77 juta,” katanya ketika sidang media pengumuman dividen saham Kosma 2024 di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, di sini hari ini. 

Beliau berkata  pembayaran dividen itu mencerminkan kecekapan, keberkesanan serta pulangan pelaburan yang mampan hasil daripada pengurusan koperasi tersebut.

“Saya percaya bahawa pengagihan dividen ini akan terus memperkukuh kesejahteraan ahli, kakitangan, warga koperasi dan seluruh rakyat Malaysia. Kejayaan Kosma ini tidak datang begitu sahaja, tetapi datang dengan usaha gigih dan konsisten setiap jenteranya,” katanya. 

Dalam perkembangan lain, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri berjaya merekodkan kutipan hasil melebihi RM700 juta setakat semalam.

Beliau optimis bahawa Pahang mampu mencapai kutipan hasil melebihi RM1 bilion sekali lagi tahun ini, selepas mencatatkan pencapaian berkenaan selama tiga tahun berturut-turut sejak 2022.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga berjaya mengurangkan bebanan hutang daripada RM3.2 bilion kepada RM900 juta melalui pelaksanaan pengurusan kewangan yang berhemat.

“Kita urus ketirisan dan kebocoran, kita berbelanja secara berhemat. Prinsip kita ialah ‘belanja jangan boros, berjimat jangan sampai kedekut’,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan