AM > BERITA

AHLI PARLIMEN WAJIB JALANI PEMERIKSAAN KESIHATAN SEBELUM 11 NOV

17/07/2024 08:41 PM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) --  Semua Ahli Parlimen diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan selewat-lewatnya 11 Nov ini, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.

Beliau berkata Ahli Parlimen yang gagal berbuat demikian akan dipaparkan nama mereka di laman sesawang Parlimen.

“Sehubungan itu, tanpa pengecualian, surat mengenai pemeriksaan kesihatan itu telah diedarkan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat.

“Pemeriksaan kesihatan itu akan dilaksanakan oleh Klinik Kesihatan Parlimen Malaysia atau di kemudahan swasta,” katanya sebelum memulakan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan kesihatan yang serupa telah diadakan ke atas semua Ahli Parlimen tahun lepas dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) dan sekali lagi dipersetujui KKM untuk diadakan tahun ini.

“Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada KKM atas keprihatinan dan kerjasama diberikan.

“Pemeriksaan kesihatan itu sangat membantu dalam mengesan tahap kesihatan Ahli-Ahli Yang Berhormat pada peringkat awal seterusnya membolehkan langkah pencegahan segera diambil,” katanya.

Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) sementara itu bangkit mencelah mencadangkan supaya mana-mana Ahli Parlimen yang tidak menjalani pemeriksaan kesihatan tidak dibenarkan bertanding pada pilihan raya.

Johari secara berseloroh berkata beliau akan pastikan perkara itu berlaku dan akan memaklumkan cadangan itu kepada presiden parti politik.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan