AM > BERITA

AHMAD ZAHID SEDIA BANTU PESERTA TUISYEN RAKYAT RASAI ALAM UNIVERSITI SEBELUM DUDUKI SPM

17/07/2024 10:44 PM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sedia membantu meneroka kerjasama dengan beberapa universiti awam bagi membolehkan anak pekebun kecil RISDA yang menyertai Tuisyen Rakyat dapat merasai suasana alam univerisiti sebelum menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata ia sebagai usaha meningkatkan motivasi mereka untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Beliau berkata inisiatif sedemikian telah dilaksana di Parlimen Bagan Datuk lebih 20 tahun dan hasilnya, ramai pelajar lepasan SPM di kawasan itu berjaya memasuki universiti kerana termotivasi dengan pendekatan seperti itu.

“Ketika cuti semester yang panjang di IPTA atau universiti awam, saya mahu pelajar-pelajar ini dibawa masuk ke kampus dan tinggal di kolej atau asrama serta menghirup suasana kampus lebih awal sebelum mereka menduduki peperiksaan SPM

“Insya-Allah, saya akan teruskan dengan beberapa Naib Canselor universiti ini dan saya akan beritahu Pengerusi RISDA untuk meneruskannya,” kata beliau ketika berucap merasmikan Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang Program Tuisyen Rakyat RISDA 2023 di sini.

Turut hadir Pengerusi RISDA Manndzri Nasib serta Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Mohd Khair Razman Mohamed. 

Ahmad Zahid berkata sejak dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia ke-Sembilan, program Tuisyen Rakyat telah menunjukkan keberkesanan dalam meningkatkan prestasi akademik pelajar.

Beliau juga berkata Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM4.16 juta kepada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bagi program Tuisyen Rakyat RISDA pada 2023 yang memberi manfaat kepada 3,000 pelajar melibatkan 200 pusat tuisyen di seluruh negara dengan komitmen 1,000 guru.

“Mereka adalah aset kepada anak atau cucu pekebun kecil RISDA dan saya mahu lihat keberkesanan program ini, bukan sekadar meraikan sejumlah kecil yang dapat 12A, 10A ke atas. Itu tidak mencukupi.

“Justeru, saya mahu keputusan SPM 2024 yang diumumkan tahun depan pencapaiannya mesti meningkat melebihi 100 peratus berbanding keputusan 2023,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan