AM > BERITA

DOF DAN UM BEKERJASAMA DALAM PENYELIDIKAN IKAN ASLI, PULIHARA BIODIVERSITI PERIKANAN DARAT

18/07/2024 06:49 PM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Sebanyak 36,000 benih ikan asli merangkumi lampam sungai, terbul, kerai, baung dan kelah dilepaskan di Tasik Varsiti, Universiti Malaya (UM) bertujuan untuk meningkatkan populasi spesies berkenaan.

Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan) Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata program dengan kerjasama UM itu juga bertujuan untuk memulihara kepelbagaian biodiversiti perikanan darat di Kuala Lumpur.

“Berdasarkan kajian inventori yang dijalankan oleh Pejabat Perikanan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur/Putrajaya dengan kerjasama Pusat Pembangunan Lestari Universiti Malaya (UMSDC), Water Warriors, Pusat Sukan dan Jabatan Harta Benda UM pada Mei lalu mendapati empat spesies ikan asli yang berjaya dikenal pasti di Tasik Varsiti ialah ikan lampam sungai, ikan ketutu, ikan kelah dan ikan kerai.

“Berdasarkan hasil inventori serta keadaan persekitaran tasik yang bersih dan terkawal, Jabatan Perikanan (DOF) bersama UM bersetuju menjadikan tasik ini sebagai bank penyelidikan ikan asli sebagai langkah konservasi bagi mengekalkan kemampanan spesies tersebut, seterusnya dapat dikembangkan ke dalam sektor perikanan akuakultur negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata program pelepasan ikan asli wajar dipergiat agar dapat memberikan pendedahan kepada pelajar di universiti serta orang awam tentang kepentingan menjaga ikan asli di perairan umum selain memupuk kesedaran mengenai tanggungjawab memastikan perairan tidak tercemar.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UM Prof Dr Kaharudin Dimyati dalam kenyataan sama berkata UM sebagai universiti penyelidikan sentiasa berusaha menjalankan penyelidikan berimpak tinggi.

Beliau berkata penyelidikan berkaitan pemeliharaan dan pemuliharaan biodiversiti di Tasik Varsiti bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti akademik tetapi juga kepada masyarakat selain memberi peluang kepada penyelidik dan pelajar terlibat secara langsung dalam usaha pemuliharaan, sambil memperkayakan pengetahuan dan kemahiran.

"Universiti Malaya sebagai institusi pendidikan tinggi awam di dalam kategori kampus bandar, menyambut baik inisiatif yang dipacu Jabatan Perikanan Malaysia untuk mengangkat peranan dan fungsi Tasik Varsiti sebagai salah satu bank spesies ikan tempatan induk bagi zon Kuala Lumpur,” katanya.

Selain program pelepasan benih ikan, turut diadakan pameran sektor perikanan darat berkaitan peralatan dilarang, spesies ikan yang dibenarkan dan dilarang dilepaskan di perairan umum serta pameran berkenaan sejarah dan aktiviti yang dijalankan di Tasik Varsiti.

Program dihadiri Pengarah Eko Kampus Pusat Pembangunan Lestari UM Dr Muhammad Azzam Ismail, Timbalan Pengarah Bahagian Sumber Perikanan Tangkapan DOF Bakri Miswan dan Pengarah Perikanan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur/Putrajaya Suhanah Kassiron.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan