AM > BERITA

MAN PERLU AMAL BUDAYA PROFESIONALISME - JOACHIM

18/07/2024 06:30 PM

RANAU, 18 Julai (Bernama) -- Mahkamah Anak Negeri (MAN) perlu melakukan transformasi kepimpinan dalam membudayakan sikap profesionalisme bagi meningkatkan perkhidmatannya di negeri ini, kata Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam. 

Beliau berkata sikap profesionalisme yang tinggi itu dapat meningkatkan keyakinan dan persepsi orang awam terhadap kualiti sistem penyampaian perkhidmatan MAN.

“Transformasi kepimpinan memerlukan tekad, komitmen dan usaha yang berterusan dari semua pihak yang berkaitan,” katanya.

Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata demikian sempena perasmian penutupan Kursus Transformasi Kepimpinan Ketua-Ketua Adat Cemerlang Siri 5 Tahun 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata kementeriannya melalui Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (JHEANS) mengambil berat akan keperluan ketua-ketua adat yang merupakan antara komponen penting MAN dalam memastikan perkhidmatan mereka diperkasakan.

MAN yang ditubuhkan secara rasmi melalui Enakmen Mahkamah Anak Negeri Sabah 1992 merupakan satu sistem perundangan tradisi di Sabah antara lain bagi menyelesaikan isu-isu masyarakat terutamanya melibatkan adat seperti perkahwinan, pewarisan dan tuntutan harta.

Joachim berkata melalui kursus itu, ketua-ketua adat boleh menyampaikan perkhidmatan sesuai dengan apa yang mereka telah pelajari, sekali gus dapat mencerminkan imej dan budaya korporat MAN yang cemerlang.

Beliau menyeru ketua-ketua adat agar sentiasa melengkapkan diri dengan kemahiran semasa, inovatif dalam mencari peluang bagi mendedahkan diri kepada perkara-perkara baharu serta agresif dalam mempelajari ilmu.

Seramai 203 peserta menghadiri kursus tersebut yang melibatkan tiga kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Kundasang, Karanaan dan Paginatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan