AM > BERITA

IMIGRESEN PERAK TAHAN 26 WARGA ASING

19/07/2024 04:32 PM

IPOH, 19 Julai (Bernama) -- Jabatan Imigresen Perak menahan 26 warga negara asing atas kesalahan di bawah Akta Imigresen dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 di sekitar daerah Kinta, Perak Tengah, Hilir Perak dan Bagan Datuk.

Pengarah Imigresen Perak Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata kesemua yang ditahan berusia antara 18 hingga 49 tahun menerusi pemeriksaan di 15 premis termasuk kediaman, perniagaan, hotel dan pusat refleksologi selain di tepi jalan raya.

Beliau berkata operasi membabitkan Bahagian Penguatkuasa Imigresen Ipoh dan Unit Penguatkuasa Pejabat Imigresen Teluk Intan yang bermula 9 pagi semalam serta tamat pada 3.30 pagi tadi.

Meor Hezbullah berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 11 warga Indonesia, Myanmar (enam), Bangladesh (tiga), India (tiga), Thailand (dua) dan seorang warga Sri Lanka. 

"Penjual mangga asam boi warga Bangladesh antara yang ditahan oleh Jabatan Imigresen Perak dalam usaha membanteras pendatang tanpa izin secara berterusan dengan melaksanakan operasi penguatkuasaan tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua mereka ditahan di Depot Imigresen Ipoh dan Depot Imigresen Langkap bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

"Jabatan Imigresen juga akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana majikan atau individu yang menggaji atau melindungi pendatang tanpa izin termasuk pendakwaan di mahkamah," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan