AM > BERITA

LEBIH 5,000 DIJANGKA HADIR MAJLIS PELANCARAN BULAN KEBANGSAAN DAN JALUR GEMILANG 2024

19/07/2024 08:03 PM

CYBERJAYA, 19 Julai (Bernama) -- Lebih 5,000 orang dijangka menghadiri Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 yang akan berlangsung di Cyber Event Hall, di sini, Ahad ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa berkata program kali ini berkonsepkan karnival yang menawarkan pelbagai aktiviti menarik.

"Ada beberapa acara baharu diperkenalkan tahun ini. Sebagai contoh kita ada persembahan bicara berirama.

"Segmen ini akan memperkatakan tentang inisiatif dan dasar-dasar utama yang dibuat oleh Kerajaan MADANI untuk kebajikan dan kesejahteraan rakyat," katanya kepada media selepas membuat tinjauan raptai majlis tersebut hari ini. 

Mengenai raptai hari ini, beliau berkata persiapan untuk majlis Ahad ini sudah mencapai 95 peratus.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 yang akan turut dihadiri Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Anwar juga dijangka melepaskan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024 melibatkan 65 kenderaan dan 90 peserta daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kelab Suzuki V Strom Malaysia dan agensi-agensi berkaitan.

Antara aktiviti yang bakal dianjurkan termasuk Karnival Kita MADANI x HKHM 2024, Permukiman Komuniti MADANI, Program Jualan RAHMAH dan Jualan Agro MADANI.

Perkhidmatan bas henti-henti secara percuma turut disediakan kepada pengunjung dengan kekerapan setiap 30 minit (bergantung pada keadaan trafik semasa) dari 8 pagi hingga 5.30 petang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan