Polis Tahan Lapan Lelaki Curi Lembu

02/08/2025 04:20 PM

DUNGUN, 2 Ogos (Bernama) -- Polis menahan lapan lelaki kerana disyaki terbabit dalam kes curi lembu di Ladang Pinang, Bukit Besi, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Maizura Abdul Kadir berkata lapan suspek termasuk seorang remaja dan warga emas berumur antara 17 hingga 73 tahun itu ditahan dalam operasi kira-kira 2.30 pagi susulan aduan penternak lembu di kawasan terbabit.

Beliau berkata selain tangkapan, polis turut merampas 18 keratan anggota badan lembu, dua kenderaan, senjata api dan peluru hidup serta alat pemotong daging.

"Polis menerima laporan mengenai kehilangan lembu kira-kira 2 pagi. Susulan itu, anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun terus bertindak pantas melakukan operasi menjejak suspek.

"Hasil operasi berjaya menahan lapan lelaki dan merampas beberapa barangan termasuk senjata api yang didaftarkan atas nama seorang daripada suspek," katanya dalam kenyataan di laman sosial Facebook Polis Dungun.

Maizura berkata tujuh suspek ditahan reman selama empat hari bermula semalam manakala suspek remaja direman selama dua hari dari semalam.

"Penternak dinasihatkan mengambil langkah pencegahan seperti pencahayaan yang cukup dan memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengelak haiwan ternakan dicuri," katanya dan menambah kes disiasat mengikut Akta Senjata 1960, Seksyen 29 Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan