AM > BERITA

MALAYSIA SAKSI PERTABALAN SULTAN IBRAHIM SEBAGAI YANG DI-PERTUAN AGONG KE-17 HARI INI

20/07/2024 08:09 AM

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 yang akan berlangsung dalam suasana penuh tradisi dan adat raja-raja Melayu di Istana Negara hari ini, melakar satu lagi peristiwa bersejarah dan signifikan bagi negara Malaysia.

Berlangsung di Balairung Seri Istana Negara, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini, istiadat pertabalan itu ialah pemasyhuran kepada seluruh dunia bahawa Sultan Ibrahim telah bersemayam di takhta sebagai Ketua Tertinggi Negara yang menggalas tanggungjawab menjadi payung mahkota menaungi rakyat Malaysia untuk tempoh lima tahun.

Istiadat penuh gilang-gemilang itu pastinya dinantikan oleh 34 juta rakyat Malaysia, selain menjadi tumpuan masyarakat antarabangsa, sekali gus mempamerkan keunikan dan keutuhan warisan sistem Raja Berpelembagaan yang diamalkan Malaysia sejak mencapai kemerdekaan pada 1957.

Istiadat pertabalan Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah itu juga menyempurnakan peruntukan Perkara 32(1) Perlembagaan Persekutuan, selain bukti kesinambungan pemerintahan raja Melayu dengan sistem pelantikan Yang di-Pertuan Agong secara bergilir yang hanya diamalkan di Malaysia.

Lebih signifikan, Sultan Ibrahim yang buat kali pertama bersemayam di takhta kerajaan Persekutuan itu, ialah generasi kedua Kesultanan Johor untuk menggalas tanggungjawab berkenaan selepas Almarhum Paduka Ayahanda, Sultan Iskandar Ismail dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan pada 1984 hingga 1989.

Mengikut sistem penggiliran senarai sembilan negeri beraja, turutan negeri dalam pusingan pertama sistem berkenaan sejak 1957 ialah Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak.

Segala persiapan bagi menyempurkan istiadat itu dilakukan dengan penuh teliti, menyaksikan Istana Negara sebagai lokasi penting kepada peristiwa bersejarah itu, dihias indah simbolik ketinggian darjat Yang di-Pertuan Agong sebagai sebuah institusi yang berdaulat.

Malah, di sekitar ibu negara juga meriah dengan gegantung ucapan sembah tahniah kepada Seri Paduka Baginda berdua bagi meraikan upacara penting yang secara tradisinya hanya berlaku setiap lima tahun.

Menurut Datuk Paduka Maharaja Lela Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini, walaupun istiadat pertabalan itu masih mengikut "acuan" asal tanpa sebarang perubahan, namun tetap mempunyai keistimewaan tersendiri dengan sentuhan peribadi Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah.

Azuan Effendy berkata istiadat pertabalan itu juga akan menyaksikan Sultan Ibrahim menggunakan peralatan kebesaran istiadat seperti Pending Diraja yang sama digunakan Almarhum Sultan Iskandar ketika ditabal sebagai Ketua Utama Negara.

“Elemen lain yang disifatkan istimewa pada istiadat pertabalan kali ini ialah penggunaan Nobat Diraja Perak yang pastinya menggamit nostalgia kerana pada istiadat pertabalan Almarhum Sultan Iskandar dulu pun menggunakan Nobat Diraja Perak,” katanya.

Pemilihan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 oleh raja-raja Melayu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara pada 27 Okt 2023 dan Seri Paduka Baginda seterusnya mengangkat sumpah jawatan pada 31 Jan di Istana Negara.

Pelantikan Seri Paduka Baginda adalah bagi menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dari Pahang yang menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Jan.

Istiadat yang dijadual bermula 9 pagi ini, dilaksanakan mengikut tertib serta aturan protokol yang setiap satu daripadanya mempunyai perlambangan tersendiri, misalnya istiadat ketenteraan menjadi pendahulu kepada istiadat berkenaan membawa simbolik bahawa kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia.

Istiadat bersejarah itu akan dihadiri kira-kira 700 tetamu termasuk raja-raja Melayu, Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri, perwakilan diplomatik asing di negara ini serta pemimpin-pemimpin utama negara.

Tetamu diraja dari luar, Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Bahrain Sheikh Hamad bin Isa Al Khalifa juga dijadual berangkat ke istiadat itu.

Istiadat berkenaan disiarkan secara langsung oleh BERNAMA TV, Radio Televisyen Malaysia (RTM) serta stesen televisyen lain, termasuk pelbagai platform media sosial dan buat kali pertama, istiadat itu juga boleh disaksikan rakyat menerusi "wayang pacak" yang disediakan Jabatan Penerangan dengan kerjasama Komuniti MADANI di setiap 222 kawasan Parlimen di seluruh negara.

-- BERNAMA 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan