AM > BERITA

2,000 PESERTA TERMASUK OKU SERTAI APRON WALK 2024

20/07/2024 12:29 PM

PUTRAJAYA, 20 Julai (Bernama) -- Seramai 2,000 peserta termasuk orang kurang upaya (OKU) menyertai Apron Walk 2024 yang diadakan sempena Sambutan Hari Keselamatan Kesihatan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2024.

Program yang diadakan di Anjung Floria itu dimulakan dengan sesi memanaskan badan, sebelum peserta dilepaskan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan yang turut serta dalam program itu.

Program berjalan sejauh lima kilometer yang memasuki tahun kedua itu, diadakan susulan penerimaan sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai tahun lepas.

Penganjuran program itu selari dengan usaha Kementerian Kesihatan (KKM) dalam memperkukuhkan kawalan keselamatan makanan negara dengan melaksanakan pelbagai strategi dan intervensi.

Pelbagai aktiviti diadakan pada program Apron Walk 2024 antaranya pameran keselamatan makanan, pertandingan mewarna bagi kanak-kanak berusia antara empat dan 10 tahun, senamrobik, cabutan bertuah serta persembahan zapin FooYoo.

Bapa kepada dua anak istimewa Norhazim Izzat Md Azman, 36, berkata beliau bersama ahli Persatuan Pelari Anak Luar Biasa mengambil peluang untuk turut serta dalam program itu, bersama anak masing-masing.

Anak kelahiran Kuala Langat, Selangor itu berkata pengalaman menyertai hampir 40 aktiviti riadah dan sukan sepanjang tahun, ternyata membuktikan aktiviti seumpama itu dapat mengurangkan tekanan dan tantrum dua anaknya iaitu Nur Alisya Humairah, 8, dan Muhammad Adam Huzair, 5.

“Setiap hujung minggu kami akan berkumpul untuk buat aktiviti bersama anak-anak istimewa kami. Dalam masa sama aktiviti riadah dan sukan macam ni bantu ceriakan mereka.

“Kalau duduk rumah sahaja, anak stress (tertekan) dan mudah untuk tantrum. Bila buat aktiviti luar, nampak perubahan emosi mereka, mudah tidur dan mood tidak swing,” katanya ketika ditemui Bernama pada program itu di sini hari ini.

Berkongsi ringkas mengenai masalah kesihatan yang dihadapi dua anaknya, Norhazim Izzat berkata Nur Alisya Humairah yang disahkan autisme ringan, turut menghidap enam penyakit lain berkaitan jantung, manakala adiknya Muhammad Adam Huzair menghidap autisme.

Persatuan Pelari Anak Luar Biasa ditubuhkan awal tahun ini dan sehingga kini telah menerima penyertaan hampir 100 ibu bapa yang memiliki anak istimewa.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan