AM > BERITA

IADA MOHON PERUNTUKAN RM40 JUTA UNTUK SELESAI ISU PENGAIRAN SAWAH DI SEMERAK

21/07/2024 08:19 PM

PASIR PUTEH, 21 Julai (Bernama) -- Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kemasin Semerak telah memohon peruntukan RM40 juta daripada kerajaan Persekutuan bagi menyelesaikan masalah pengairan sawah di Gong Manok, Semerak di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata sekiranya peruntukan berjaya diperolehi ia mampu menyelesaikan masalah pembangunan dan saliran di kawasan berkenaan yang menjejaskan 200 pesawah membabitkan kawasan seluas 323.74 hektar.

“Kawasan berkenaan kini berdepan dengan ketidakcukupan bekalan air selain saliran air yang baik. Mengikut makluman yang diperolehi, IADA telah memohon peruntukan dengan Kerajaan bagi menyelesaikan masalah ini.

“Kerajaan Kelantan telah menyalurkan peruntukan segera sebanyak RM50,000 bagi membersihkan saliran termasuk bekalan telaga tiub,” katanya kepada pemberita di Program Melabuh Tukun Tiruan Kuboid Penghalang Pukat Tunda (Konservasi) Di Perairan Tok Bali di sini, hari ini.

Menurutnya setakat ini pesawah di kawasan itu hanya mengharapkan air hujan dan sekiranya masalah diselesaikan mereka mampu menuai padi sehingga dua musim.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan