AM > BERITA

LEBUH RAYA WISE AKAN MULA DIBINA TAHUN INI - SAARANI

22/07/2024 02:50 PM

IPOH, 22 Julai (Bernama) -- Pembinaan Lebuh Raya West Ipoh Span Expressway (WISE) menghubungkan Gopeng ke Kuala Kangsar sepanjang 60 kilometer (km) akan mula dilaksanakan pada tahun ini selepas proses pemeteraian perjanjian konsesi selesai.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata beliau dimaklumkan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) Jabatan Perdana Menteri bersama WISE sedang mencari tarikh sesuai untuk majlis pemeteraian perjanjian itu.

"Jadi setelah selesai (pemeteraian perjanjian) itu bermakna boleh binalah," katanya pada sidang media selepas Majlis Santuni Masyarakat Orang Asli Perak Sejahtera 2030 dan Simposium Batin di sini hari ini.

Pada 14 Dis lepas, Saarani memaklumkan kerajaan Persekutuan meluluskan cadangan pembinaan WISE selepas beliau dimaklumkan ia dipersetujui mesyuarat Kabinet dengan projek dibangunkan syarikat konsesi menerusi Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).

Sebelum ini, media melaporkan Kerajaan Persekutuan dalam usaha mempercepat pembinaan WISE sebagai langkah mengurangkan kesesakan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) khususnya melibatkan laluan di Terowong Menora.

Lebuh raya WISE sepanjang 60km sebagai alternatif kepada laluan Terowong Menora di PLUS bakal dilengkapi tiga lorong dua hala dengan laluannya bermula di Gopeng melalui Batu Gajah, Siputeh, Manong, Tronoh, Beko, Seri Iskandar, dan seterusnya Kuala Kangsar.

Dalam perkembangan lain,  Saarani berkata kerajaan negeri membuat permohonan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk cadangan pembinaan perumahan bagi generasi kedua masyarakat Orang Asli di negeri ini.

Beliau berkata perkara itu telah diusulkan kerajaan negeri melalui Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak Datuk Mohd Zolkafly Harun pada Mesyuarat Majlis Perundingan Orang Asli (MaPOA) yang diadakan di Kuala Lumpur minggu lepas.

"Kalau kita masuk ke mana-mana kampung Orang Asli, itulah antara perkara (permohonan perumahan generasi kedua) yang sering dikemukakan kepada kita kerana mereka memerlukan rumah yang selesa.

"Bagaimanapun (permohonan pembinaan rumah generasi kedua) bergantung kepada peruntukan kewangan (kementerian) juga. Sebelum ini memang ada Projek Bantuan Rumah Orang Asli oleh KKDW diberikan kepada masyarakat Orang Asli iaitu nama mereka (Orang Asli) ada dalam senarai e-Kasih," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan