Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kampung Orang Asli Berasau Terima Bekalan Elektrik 24 Jam Melalui Sistem Solar "Off-grid"

18/04/2026 02:16 PM

Oleh Mohamad Syazwan Mustafa

KLUANG, 18 April (Bernama) -- Kampung Orang Asli (KOA) Berasau di sini mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi kampung Orang Asli pertama di kawasan pedalaman yang jauh dari jalan utama di negara ini menerima bekalan elektrik 24 jam melalui sistem solar bersepadu tanpa bergantung kepada grid awam.

Projek di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui inisiatif Kampung Angkat MADANI (KAM) itu turut merangkumi pembinaan balai raya berbumbung solar tertutup yang menjadi pusat aktiviti komuniti, selain memberi manfaat kepada lebih 20 rumah di kampung berkenaan.

Ad Banner

Sistem berkenaan menggunakan teknologi solar fotovoltan (PV) luar grid (off-grid) dengan kapasiti melebihi 50 kilowatt puncak serta sistem penyimpanan tenaga bateri sebanyak 516 kilowatt jam, sekali gus membolehkan bekalan elektrik berterusan di kawasan yang sebelum ini bergantung kepada generator.

Projek itu dilaksanakan PETRA dengan kerjasama Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta agensi Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor sebagai usaha memperluas .akses tenaga bersih di kawasan pedalaman.

Bagi penduduk, khususnya generasi muda dan keluarga di kampung itu, kemudahan elektrik 24 jam membawa perubahan ketara kepada kehidupan harian yang sebelum ini terhad kepada penggunaan generator.

Ad Banner

Ketua Masyarakat Kampung Orang Asli Berasau, Sari Achu, 51, berkata penduduk kini dapat menikmati kemudahan asas yang telah lama dinantikan.

“Selama ini kami hanya guna generator dan bekalan elektrik terhad pada waktu malam sahaja. Sekarang kami sangat bersyukur kerana kampung ini akhirnya dapat menikmati bekalan elektrik berterusan,” katanya ketika ditemui Bernama selepas majlis perasmian Projek Kampung Angkat MADANI PETRA di sini hari ini.

Sari berkata kemudahan itu memberi kesan langsung kepada pendidikan anak-anak serta aktiviti ekonomi kecil penduduk.

“Anak-anak kini boleh belajar dengan lebih selesa pada waktu malam. Kami yang bekerja sebagai nelayan darat juga dapat menyimpan hasil tangkapan dengan lebih baik,” katanya.

Selain itu, Sari berkata balai raya berasaskan tenaga solar itu turut membuka ruang kepada aktiviti komuniti termasuk program pendidikan, pertemuan penduduk dan kegiatan sosial setempat.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) merasmikan Projek Kampung Angkat MADANI PETRA di kampung berkenaan hari ini.

Beliau berkata penggunaan sistem solar luar grid itu dipilih memandangkan cabaran penyediaan grid elektrik konvensional yang memerlukan tempoh panjang serta melalui kawasan hutan simpan dan tanah persendirian.

“Kejayaan pelaksanaan projek di kampung ini dijangka menjadi model rujukan kepada pelaksanaan inisiatif seumpamanya di penempatan Orang Asli lain, khususnya di kawasan pedalaman yang masih belum menikmati bekalan elektrik berterusan secara stabil,” katanya.

Sementara itu, Jurutera Elektrik Penguasa Kanan JKR yang juga Ketua Pasukan Projek berkenaan Dr Abdul Muhaimin Mahmud berkata projek melibatkan pemasangan 85 keping panel solar, pembinaan struktur bangunan dan unit pengstoran tenaga itu bermula pada Januari 2025 dan siap pada Oktober tahun yang samamm, iaitu lebih awal daripada jadual.

“Cabaran utama ialah akses ke lokasi memandangkan ia jauh di pedalaman serta keperluan memastikan pemasangan memenuhi spesifikasi teknikal, namun ia berjaya disiapkan hasil kerjasama semua pihak termasuk komuniti setempat,” katanya.

Beliau berkata selepas hampir enam bulan beroperasi, sistem berkenaan menunjukkan prestasi baik dan memberi manfaat langsung kepada penduduk yang sebelum ini bergantung kepada bekalan terhad menggunakan generator.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan