AM > BERITA

USAHAWAN PENYEWA PREMIS MARA CATAT PRESTASI JUALAN BERJUMLAH RM1.8 BILLION PADA 2023

22/07/2024 03:44 PM

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Majlis Amanah Rakyat (MARA) berjaya melahirkan usahawan di kalangan penyewa premis MARA dengan prestasi jualan berjumlah RM1.8 billion bagi tahun 2023.

Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata prestasi itu sekali gus telah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan membuka peluang pekerjaan kepada 14,409 orang dalam tempoh berkenaan.

“Salah satu matlamat kita adalah mentransformasikan dan mewajahkan premis-premis MARA yang begitu besar di seluruh Malaysia supaya menanam dan mengubah persepsi masyarakat bahawa premis-premis MARA ini memang berdaya maju dan hebat untuk masa akan datang.

"Jadi sebab itulah, pentingnya untuk kita memperkasa dan mengangkat lagi martabat ataupun imej premis ini supaya penyewa juga mendapat manfaat daripada tempat yang kita tawarkan dengan kadar sewa yang amat rendah daripada pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Konvensyen Penyewa MARA Se-Malaysia 2024 di sini hari ini.

Mengenai 'polisi keluar’ premis MARA yang masih disewa usahawan berjaya, Asyraf Wajdi berkata kedua-dua pihak perlu memahami matlamat MARA menyediakan premis-premis itu adalah bertujuan membantu usahawan baru memulakan perniagaan dan melonjakkan tahap perniagaan mereka.

"Jadi kita minta, mesti ada satu tempoh bilamana mereka sudah capai tahap kejayaan dalam perniagaan dan mereka mesti ada nilai keprihatinan untuk membantu usahawan-usahawan lain.

"Kita tidak akan mampu menyediakan premis di seluruh Malaysia dan menambah lagi peruntukan pembangunan sebab itu dalam konteks ini, konvensyen ini sedikit sebanyak memberi kesedaran yang akhirnya mereka (penyewa MARA) perlu bersedia memberi peluang kepada usahawan baru,” katanya.

Mengenai konvensyen hari ini, beliau berkata program julung kali diadakan itu menghimpunkan seramai 600 penyewa MARA dari seluruh negara bertujuan memberi peluang kepada mereka untuk berinteraksi secara bersemuka dan bertukar pandangan dalam meluaskan jaringan perniagaan mereka.

Turut hadir Ketua Pengarah MARA Datuk Seri Azhar Abdul Manaf dan Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA Datuk Zulfikri Osman.

Dalam perkembangan lain, Asyraf Wajdi memaklumkan terdapat 225 daripada keseluruhan 7,284 premis disewakan MARA telah dikenal pasti digunakan sebagai stor.

“Lot-lot premis yang kita kenal pasti dijadikan stor-stor ini kita minta supaya mereka kembali ke perjanjian yang telah kita persetujui,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan