AM > BERITA

KPT, KLN SEDIA BANTUAN UNTUK RAKYAT MALAYSIA YANG TIBA DARI BANGLADESH - ZAMBRY

22/07/2024 11:19 PM

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan bekerjasama dengan Kementerian Luar Negeri (KLN) untuk menyediakan segala bantuan yang diperlukan semasa ketibaan rakyat Malaysia dari Bangladesh, termasuk kaunseling, penginapan, dan logistik.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata KPT menyambut baik dan berterima kasih dengan keputusan kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KLN untuk melakukan evakuasi kepada semua rakyat Malaysia yang berada di Bangladesh susulan ketegangan yang semakin memuncak di negara itu.

“Seperti dimaklumkan oleh pihak Wisma Putra, proses membawa pulang ini akan dilakukan dalam keadaan segera dan turut melibatkan lebih 124 pelajar Malaysia yang terjejas berada di sana.

“Sama-sama kita doakan proses evakuasi ini berjalan lancar dan semua rakyat Malaysia di Bangladesh dapat tiba di tanah air dengan selamat,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan memutuskan untuk membawa pulang pelajar Malaysia di Bangladesh kerana mengutamakan keselamatan mereka berikutan ketegangan yang memuncak di negara itu.

Beliau berkata ia susulan pemantauan KLN terhadap perkembangan mutakhir di Bangladesh.

Ribuan pelajar di Bangladesh mengadakan demonstrasi sejak 1 Julai selepas mahkamah mengembalikan kuota untuk pekerjaan awam yang telah dimansuhkan pada 2018.

Kerajaan Bangladesh telah mengenakan perintah berkurung di seluruh negara Sabtu lepas sebagai tindak balas terhadap peningkatan keganasan dan demonstrasi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan