Daripada Nurhafizah Tan
BEIJING, 12 Mac (Bernama) -- Badan perundangan kebangsaan China pada Khamis meluluskan beberapa laporan utama kerajaan dan menerima pakai tiga undang-undang baharu pada mesyuarat penutup sesi keempat Kongres Rakyat Kebangsaan ke-14.
Ahli kongres menerima pakai Undang-undang Perancangan Pembangunan Negara, Undang-undang Menggalakkan Perpaduan dan Kemajuan Etnik, dan Kod Alam Sekitar Ekologi.
Sesi berkenaan turut meluluskan laporan kerja kerajaan serta laporan oleh Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan, Mahkamah Agung Rakyat dan Prokuratorat Agung Rakyat.
Delegasi seterusnya mengesahkan laporan mengenai pelaksanaan pelan pembangunan ekonomi dan sosial nasional 2025 serta draf pelan bagi 2026, bersama laporan mengenai belanjawan pusat dan tempatan bagi 2025 dan 2026.
Garis panduan Rancangan Lima Tahun ke-15 China bagi Pembangunan Ekonomi dan Sosial (2026--2030) juga telah diluluskan.
Berucap pada mesyuarat penutup itu, Presiden Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) Zhao Leji berkata sesi berkenaan telah mencapai konsensus luas yang menekankan kepentingan menggubal serta melaksanakan Rancangan Lima Tahun sebagai ciri utama tadbir urus di bawah sistem sosialis China.
"Ia merupakan persidangan yang menghimpunkan kekuatan, menekankan kerja yang mantap, dan menyatukan semua dalam usaha untuk terus maju. Ia melambangkan tahap perpaduan yang tinggi antara usul CPC dan kehendak rakyat," katanya.
Keputusan itu dicapai susulan berakhirnya sesi tahunan Dua Sesi China, yang terdiri daripada mesyuarat Majlis Perundingan Politik Rakyat China dan Kongres Rakyat Kebangsaan, yang diadakan di sini dari 4 Mac hingga 12 Mac.
Perhimpunan itu mengumpulkan hampir lima ribu penasihat politik dan wakil rakyat untuk menyemak kerja kerajaan, membincangkan keutamaan pembangunan negara yang dizahirkan dalam Rancangan Lima Tahun ke-15 (2026-2030) negara itu serta meluluskan dasar dan perundangan utama untuk tahun-tahun akan datang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial