AM > BERITA

STPM 2023 CATAT PNGK NASIONAL 2.84, TERTINGGI SEJAK DILAKSANAKAN

23/07/2024 01:27 PM

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023 mencatatkan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) nasional 2.84, tertinggi sejak peperiksaan itu dilaksanakan.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata angka itu merupakan peningkatan 0.02 mata daripada 2.82 yang direkod pada tahun sebelumnya.

Selain itu beliau berkata seramai 1,116 calon atau 2.7 peratus meraih PNGK 4.00 iaitu penurunan 68 calon berbanding 1,184 pada 2022. 

“Daripada 1,116 calon ini, seramai 803 calon atau 71.95 peratus daripadanya adalah dari kategori B40,” katanya pada sidang media pengumuman Keputusan STPM 2023 di sini hari ini.

Mohd Ekhwan berkata dari segi pencapaian PNGK secara keseluruhannya, calon STPM 2023 yang memperoleh PNGK 3.75 dan ke atas ialah 10 peratus manakala PNGK 3.00 dan ke atas ialah 44.82 peratus.

"Bagi PNGK 2.75 dan ke atas ialah 58.79 peratus dan PNGK 2.00 dan ke atas ialah 90.08 peratus,  meningkat berbanding tahun 2022," katanya.

Beliau berkata seramai 42,908 calon telah mendaftar untuk menduduki STPM 2023 namun hanya 41,548 orang hadir untuk menduduki peperiksaan.

"Daripada 41,548 calon yang hadir, sebanyak 99.93 peratus atau 41,520 calon layak dianugerahkan Sijil STPM 2023, manakala hanya 0.07 peratus atau 28 calon sahaja tidak layak mendapat sijil ini," katanya.

Ditanya mengenai 1,360 calon yang tidak hadir peperiksaan, beliau berkata hal itu disebabkan beberapa faktor seperti calon telah mendapat pekerjaan, menyambung pelajaran ke peringkat diploma atau program lain, sakit atau meninggal dunia.

Dalam pada itu Mohd Ekhwan berkata MPM telah memilih 17 pelajar terbaik mengikut kategori untuk diberikan anugerah berbentuk wang tunai bernilai RM1,000, plak serta sijil yang akan disampaikan oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, hari ini.

Beliau berkata kategori berkenaan melibatkan lima pelajar terbaik aliran sains, lima pelajar terbaik aliran sains sosial dan dua pelajar terbaik kategori Orang Asli.

"Lima pelajar terbaik bagi setiap kategori calon Berkeperluan Pendidikan Khas iaitu buta (dua orang), rabun, autistik dan spastik," kata Mohd Ekhwan yang juga Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia.

Calon STPM 2023 boleh menyemak keputusan menerusi pautan http://stpm.mpm.edu.my/stpmK dan sistem pesanan ringkas (SMS) dengan menaip STPM/No. Kad Pengenalan/Angka Giliran dan hantar ke 15888 bermula 11.30 pagi ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan