AM > BERITA

TREND LAPORAN ORANG HILANG TIDAK MENYAKSIKAN PENINGKATAN MENDADAK - SAIFUDDIN NASUTION

23/07/2024 02:50 PM

PUTRAJAYA, 23 Julai (Bernama) --  Trend laporan terhadap insiden orang hilang kekal sekitar 900 kes setiap tahun dari 2020 sehingga tahun ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata trend dalam tempoh lima tahun itu tidak menyaksikan peningkatan kes orang hilang seperti didakwa di media sosial.

"Dari 2020 sampai Jun 2024, pola laporan polis terhadap insiden orang hilang ini ialah kekal dengan angka 900.

"Daripada kes orang hilang yang dilapor, peratusan yang ditemui (dijumpai semula) itu tinggi iaitu antara 85 hingga 90 peratus," katanya kepada media selepas perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata demikian ketika mengulas penemuan kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang hilang di pusat beli-belah di Iskandar Puteri, Sabtu lepas, dijumpai selamat di sebuah hotel murah di Batang Kali, Selangor awal pagi tadi.

Beliau berkata komitmen KDN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) jelas iaitu satu kes membabitkan orang hilang adalah perkara serius dan tindakan segera akan diambil.

Justeru, beliau berkata orang awam harus memainkan peranan dengan membuat aduan mengenai orang hilang kepada polis.

Saifuddin Nasution berkata balai polis di seluruh negara boleh menerima aduan berkaitan orang hilang, dan kes yang dilapor di Petaling Jaya, Selangor misalnya tidak semestinya tidak boleh dilaporkan di Ipoh, Perak.

Beliau berkata apabila aduan diterima, polis akan membuat penyisihan untuk menentukan sama ada kes tersebut melibatkan kategori kanak-kanak di bawah 18 tahun, elemen jenayah, orang diplomatik, atau kepentingan ekonomi.

"Sekiranya ada elemen jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah akan membuka fail manakala Jabatan Pengurusan mengambil kes tidak membabitkan elemen jenayah," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan