AM > BERITA

KDN TELITI LAPORAN KL BANDAR BAHAYA DI ASIA TENGGARA - SAIFUDDIN NASUTION

23/07/2024 03:46 PM

PUTRAJAYA, 23 Julai (Bernama) -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata penelitian akan dilakukan terhadap laporan Forbes Advisor yang menyenaraikan Kuala Lumpur sebagai bandar kelima paling bahaya di Asia Tenggara untuk dilawati.

Beliau berkata laporan Forbes Advisor itu bercanggah dengan Indeks Keamanan Global 2024 (GPI) yang dikeluarkan oleh Institut Ekonomi dan Keamanan (IEP) pada Jun lepas melaporkan Malaysia menduduki tempat ke-10 sebagai antara negara paling aman di dunia.

"Saya anggap (laporan) sebagai satu kenyataan yang dibuat oleh Forbes. Apapun analisis, komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah ke arah memastikan keamanan dan ketenteraman awam segalanya dalam tanggungjawab kami," katanya dalam sidang media selepas perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Forbes Advisor pada 19 Julai lepas yang menyatakan Kuala Lumpur telah menjadi bandar kelima paling bahaya untuk dilawati di Asia Tenggara.

Bandar-bandar lain yang tersenarai dalam kategori sama adalah Yangon, Myanmar, Manila, Filipina, Jakarta, Indonesia, Ho Chi Minh, Vietnam dan Bangkok, Thailand.

Saifuddin Nasution berkata beliau tidak menafikan laporan Forbes Advisor namun belum meneliti secara terperinci laporan tersebut.

Beliau berkata kayu pengukur GPI itu jelas namun kayu pengukur Forbes Advisor perlu diteliti terlebih dahulu sebelum memberi ulasan lanjut.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin Nasution berkata beliau telah berjumpa Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dua hari lepas mengenai langkah membanteras isu pelacuran di ibu negara yang gagal ditangani sekian lamanya.

Beliau berkata pertemuan itu membincangkan penerangan secara menyeluruh, dan beberapa perkara perlu disiapkan sebelum membuat kenyataan terperinci mengenai isu tersebut.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan