AM > BERITA

PELAJAR STPM CEMERLANG TEKAD UBAH NASIB KELUARGA

23/07/2024 05:43 PM

IPOH, 23 Julai (Bernama) -- Melihat pengorbanan bapa yang hanya bekerja kampung, membuatkan Muhammad Iqhfaz Hasif Abdullah, 20, tekad mengubah nasib keluarga sekali gus mendorongnya untuk belajar bersungguh-sungguh bagi menghadapi peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2023.

Kesungguhannya membuahkan hasil apabila pelajar aliran sains sosial Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Abdul Razak, Bagan Datuk itu memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0.

“Saya bukan datang dari keluarga yang senang ditambah hanya bapa yang bekerja bagi menyara kehidupan kami sekeluarga. Saya turut berdepan kesukaran untuk mendapatkan akses jalur lebar disebabkan tinggal di kawasan pedalaman.

“Dari situ, timbul satu tekad untuk belajar bersungguh-sungguh bukan hanya untuk membanggakan ibu bapa dan guru-guru malah ia adalah jalan yang boleh mengubah kehidupan keluarga,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM 2023 Negeri Perak di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) di sini, hari ini.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata tiada ramuan khusus yang dipraktikkan selain nota ringkas bagi memahami setiap subjek yang dipelajari.

“Saya belajar macam biasa cuma apa yang ditekankan adalah kepada penulisan berbentuk nota kecil bagi saya memahami tentang sesuatu perkara dengan lebih mudah. Tumpuan dalam kelas semasa sesi pembelajaran juga penting dalam memastikan saya memperolehi keputusan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Iqhfaz yang bercita-cita untuk menjadi guru ingin melanjutkan pelajaran sama ada ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) atau Institut Pendidikan Guru (IPG).

Sementara itu, pelajar aliran agama SMK Sultan Azlan Shah, Bota Amni Zafirah Shahril, 20, berkata kejayaan memperolehi semua A bagi subjek Pengajian Am, Usuluddin, Bahasa Arab dan Syariah adalah hasil sokongan ibu bapa, guru dan rakan-rakan.

“Kita juga kena jaga hubungan dengan Allah S.W.T kerana datangnya keputusan ini melalui rezeki yang dikurniakan-Nya. Bacaan ayat al-Quran juga menjadi amalan kepada saya sebelum melakukan apa jua aktiviti seharian,” katanya yang berhasrat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang al-Quran dan sunnah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sementara itu, pelajar aliran agama SMK Sultan Azlan Shah, Bota Amni Zafirah Shahril, 20, berkata kejayaan memperolehi semua A bagi subjek Pengajian Am, Usuluddin, Bahasa Arab dan Syariah adalah hasil sokongan ibu bapa, guru dan rakan-rakan.

“Kita juga kena jaga hubungan dengan Allah S.W.T kerana datangnya keputusan ini melalui rezeki yang dikurniakan-Nya. Bacaan ayat al-Quran juga menjadi amalan kepada saya sebelum melakukan apa jua aktiviti seharian,” katanya yang berhasrat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang al-Quran dan sunnah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sementara itu, seorang anak penjual sayur di Perlis, Nur Syiefa Ummairah Zaidi, 20, yang memperoleh keputusan cemerlang 4.0 dalam STPM 2023 mengamalkan beberapa rutin sebelum menduduki peperiksaan itu.

Nur Syiefa Ummairah yang berasal dari Kampung Gial, Mata Ayer itu berkata beliau mengamalkan solat malam selain sering bangun awal pagi untuk mengulang kaji pelajaran.

“Rutin saya bila dah nak dekat peperiksaan ini, saya akan tidur awal dan bangun semula pada waktu  pagi kira-kira pukul 4 pagi untuk solat malam dan mengulang kaji pelajaran kerana waktu itu otak masih segar,” katanya kepada pemberita.

Beliau menyifatkan keputusannya memilih memasuki Tingkatan Enam adalah keputusan terbaik kerana peringkat pengajian itu merupakan laluan pantas (fast track) untuk menyambung pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam.

Nur Syiefa Ummairah juga berhasrat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Sains Komputer di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang.

“Keputusan saya ini merupakan hadiah kepada kedua ibu bapa saya yang tak putus-putus mendoakan kebaikan dunia akhirat buat anak-anaknya. Kepada adik-adik di luar sana, teruskan berusaha dan jangan berputus asa walaupun susah percayalah pada perancangan Allah,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan