AM > BERITA

OPERASI BAWA PULANG RAKYAT MALAYSIA LANCAR, PELAJAR SELAMAT - SAIFUDDIN NASUTION

23/07/2024 07:43 PM

SEPANG, 23 Julai (Bernama) -- Operasi membawa pulang 123 rakyat Malaysia dari Bangladesh menerusi penerbangan khas atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini berjalan lancar.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sepanjang proses berkenaan, Wisma Putra serta Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka mendapat kerjasama baik kerajaan Bangladesh dan pihak berkuasa tempatan negara itu.

“Kerajaan ingin merakamkan penghargaan kepada Kementerian Luar Bangladesh dan semua agensi berkaitan atas kerjasama dan bantuan diberikan.

“Operasi berjalan licin dan lancar dengan kerjasama hubungan kerajaan kepada kerajaan (G2G), agensi dan semua pihak terlibat. Buktinya mereka (rakyat Malaysia) selamat sampai dengan elok,” katanya.

Beliau berkata demikan pada sidang media selepas menyambut ketibaan rakyat Malaysia dari Bangladesh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, di sini.

Seramai 123 rakyat Malaysia termasuk 80 pelajar, berlepas pulang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal Dhaka dengan menaiki penerbangan khas AirAsia pada 11.05 pagi waktu Bangladesh dan tiba di sini pada 4.56 petang.

Saifuddin Nasution berkata pelajar Malaysia yang berada di Bangladesh tidak menyertai ketegangan yang berlaku di negara itu kerana perkara berkenaan isu domestik. 

“Saya tanya dalam kalangan mereka, ada tidak pelajar terlibat (ketegangan di Bangladesh) dan jawapannya tidak. Ada kematian atau kecederaan (jawapannya juga) tidak.

“Bagusnya pelajar kita jelas isu berlaku isu domestik. Mereka tahu peranan sebagai pelajar dan keutamaan mereka ialah keselamatan nyawa,” katanya menambah, semua rakyat Malaysia selamat.

Saifuddin Nasution turut memuji kecekapan semua pihak dalam menjalankan misi membawa pulang rakyat Malaysia daripada Bangladesh, meskipun wujud beberapa kekangan seperti sekatan Internet dan telekomunikasi.

“Sekatan Internet dan telekomunikasi di Bangladesh benar merencatkan dan beri kesan usaha suruhanjaya tinggi dan kementerian untuk hulur bantuan kepada golongan terkesan.

“Walau kekangan ini wujud namun pihak suruhanjaya tinggi boleh manfaat teknologi sedia ada, seperti guna SMS (sistem pesanan ringkas),” katanya.

Sementara itu, beliau mengakui terdapat rakyat Malaysia yang masih berada di Bangladesh atas pelbagai faktor seperti pelajaran dan masih terikat kontrak pekerjaan.

“Terdapat rakyat Malaysia memilih buat masa ini untuk terus tinggal di Bangladesh. Ini untuk tidak ganggu tumpuan dalam pelajaran, ada juga pekerja Malaysia yang terikat dengan kontrak pekerjaan.

“Ada ingin terus menetap dengan ahli keluarga dan bagi semua senario ini, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka akan terus tunai tanggungjawab dan main peranan pantau keadaan mereka,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata kerajaan akan fokus jaga kebajikan dan keselamatan rakyat Malaysia serta menasihati mereka untuk sentiasa berwaspada.

“Saya ambil peluang nasihat rakyat Malaysia memilih untuk tinggal supaya terus berwaspada dan tidak bergerak sebarangan,” katanya.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menyalurkan bantuan psikologi kepada pelajar dan ahli keluarga yang terkesan susulan ketegangan di Bangladesh.

“KPT tampil dengan pakar psikologi yang urus keluarga dan pelajar kerana komunikasi psikologi tidak sama dengan kita.

“… sebahagian saya boleh tengok secara zahir nampak terkejut. Keadaan seperti ini memerlukan  peranan pegawai psikologi untuk keluarga dan pelajar,” katanya.

Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud turut hadir menyambut ketibaan 123 rakyat Malaysia dari Bangladesh.

Semalam, Perdana Menteri berkata kerajaan memutuskan untuk membawa pulang pelajar Malaysia di Bangladesh berikutan ketegangan yang memuncak di negara itu.

Misi berkenaan melibatkan 15 pegawai dari Kementerian Luar Negeri, Jabatan Perdana Menteri dan Majlis Keselamatan Negara.

Malaysia menjadi negara kedua selepas India yang melakukan pemindahan warganya, berikutan protes di Bangladesh yang telah meragut lebih 130 nyawa sejak pertengahan Julai.

Ribuan pelajar di Bangladesh mengadakan demonstrasi sejak 1 Julai susulan keputusan mahkamah mengembalikan kuota untuk pekerjaan awam yang dimansuhkan pada 2018.

Kerajaan Bangladesh telah mengenakan perintah berkurung di seluruh negara pada Sabtu, sebagai tindak balas terhadap peningkatan keganasan dan demonstrasi.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan