AM > BERITA

KELUARGA JADI INSPIRASI MUHAMMAD FARRIEZS UNTUK MUNCUL PELAJAR CEMERLANG STPM

23/07/2024 09:00 PM

MELAKA, 23 Julai (Bernama) -- Bertekad menjadi anak pertama dalam keluarga yang melanjutkan pelajaran ke universiti menyuntik semangat Muhammad Farriezs Mohd Yunus, 20, untuk mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023.

Anak bongsu daripada lima beradik itu berkata dorongan dan sokongan ibu bapa turut menjadi sumber inspirasi kepadanya untuk tekun belajar hingga akhirnya memperoleh Purata Nilaian Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 dalam peperiksaan itu.

“Saya tanam keazaman untuk belajar bersungguh-sungguh kerana abang dan kakak tidak berpeluang menyambung pelajaran ke menara gading sebelum ini.

“Jadi, saya bertekad untuk membanggakan mereka selain turut berterima kasih kepada guru yang banyak membantu dan mendidik," kata pelajar Kolej Tingkatan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Sebang itu.

 Dia berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pengumuman Keputusan STPM 2023 peringkat negeri Melaka di Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Bukit Baru di sini hari ini.

Muhammad Farriezs berkata setiap hari dia menghabiskan masa kira-kira lima jam untuk mengulang kaji pelajaran dan lebih gemar belajar pada waktu malam kerana suasananya lebih tenang dan sunyi.

“Semasa peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya dapat 8A tetapi gagal mendapat tawaran daripada mana-mana universiti. Memang agak kecewa, tetapi ia sedikit pun tidak mematahkan semangat saya untuk terus belajar. 

"Saya juga tidak anggap belajar di Tingkatan 6 sebagai pilihan terakhir, sebaliknya saya melihat ia sebagai jalan pintas untuk menyambung pelajaran ke peringkat ijazah. Alhamdulillah, hari ini saya berjaya mencatat keputusan cemerlang dalam empat subjek diambil iaitu Pengajian Am, Ekonomi, Sejarah dan Bahasa Melayu," katanya.

Muhammad Farriezs berkata dia berhasrat untuk menyambung pelajaran ke Universiti Malaya atau Universiti Sains Malaysia dalam jurusan ekonomi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan