AM > BERITA

GANGGUAN IT: LIMA AGENSI KERAJAAN, SEMBILAN SYARIKAT SWASTA TERJEJAS

24/07/2024 04:55 PM

PUTRAJAYA, 24 Julai (Bernama) -- Sebanyak lima agensi kerajaan dan sembilan syarikat swasta terjejas akibat gangguan sistem teknologi maklumat (IT) pada 19 Julai lepas, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Beliau berkata agensi berkenaan ialah Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Institut Kesihatan Negara dan Lembaga Zakat Kedah.

Sementara sembilan syarikat swasta itu melibatkan sektor penerbangan, perbankan dan kesihatan, katanya.

"Kesemua data dalam sektor kerajaan selamat. Tidak ada sebarang ketirisan dan kita lihat tidak ada masalah dari sudut data," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Gobind berkata terdapat cubaan pancingan data ketika gangguan itu berlaku, namun kerajaan berjaya mematahkan cubaan itu.

Beliau berkata beberapa domain pancingan data diwujudkan pihak tidak bertanggungjawab dalam usaha mendapatkan maklumat dan akses kepada data syarikat tertentu.

Gobind berkata beliau telah berjumpa dengan wakil Microsoft dan CrowdStrike dan menyampaikan mesej tegas bahawa tahap keselamatan mereka mesti diperkukuh.

Beliau berkata Microsoft kini dalam proses menyiapkan laporan penuh berhubung insiden itu dan pihaknya meminta syarikat itu mempertimbangkan tuntutan yang dikemukakan syarikat Malaysia yang mengalami kerugian dan kerosakan susulan gangguan itu.

Bagaimanapun, katanya beliau belum menerima maklumat mengenai anggaran kerugian tersebut.

Gobind berkata gangguan itu bukanlah serangan siber dan terjadi ekoran kelemahan pada perisian kemas kini CrowdStrike sehingga menjejaskan sistem operasi Microsoft dan pengguna tidak dapat mengakses sistem komputer mereka.

"Walaupun bukan serangan siber, kementerian memandang perkara ini dengan serius. Ini kerana gangguan sebegini menunjukkan kelemahan dalam proses sistem teknologi wujud yang menyebabkan kerosakan dan kehilangan besar sekiranya berulang lagi," katanya.

Justeru, beliau berkata tiga pelan diambil untuk memastikan insiden sedemikian tidak berulang antaranya pembekal perisian perlu menambah baik prosedur ujian sebelum pelaksanaannya (deployment) dan pembekal perisian perlu mempunyai ulasan berkala serta mengemas kini rancangan masing-masing.

Selain itu, beliau berkata penting bagi sesuatu syarikat mempunyai pelan insiden tindak balas yang komprehensif dan strategi komunikasi untuk pihak bekepentingan menguruskan sebarang insiden dengan berkesan.

Gobind berkata insiden itu menunjukkan pentingnya tadbir urus yang baik dalam pengendalian platform digital dan kementerian telah menjalankan usaha berkenaan dengan memperkenalkan serta menambah baik Akta Keselamatan Siber 2024 dan pindaan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709).

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan