Ad Banner
 AM > BERITA

AS Kurangkan Tarif Ke Atas Import Malaysia Kepada 19 Peratus

01/08/2025 09:39 AM

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif yang lebih rendah sebanyak 19 peratus ke atas import Malaysia, berkuat kuasa 1 Ogos, 2025.

Pada 7 Julai, Washington mengumumkan AS akan mengenakan tarif 25 peratus ke atas semua produk Malaysia yang dihantar ke negara itu, berasingan daripada semua tarif sektor, berkuat kuasa 1 Ogos tahun ini, dan angka itu merupakan satu peratus lebih tinggi berbanding dengan tarif yang telah diumumkan pada April.

Bagaimanapun, tiada tarif akan dikenakan sekiranya Malaysia, atau syarikat Malaysia, memutuskan untuk membangunkan atau menghasilkan produk di AS.

Malaysia telah berunding dengan Washington mengenai tarif sejak April, dengan matlamat untuk mengurangkan tarif 24 peratus yang dikenakan sebelum ini, dengan rundingan terkini telah diadakan pada 18 Jun lepas.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, mengumumkan beliau telah mengadakan perbualan telefon dengan Presiden AS Donald Trump pada 6.50 pagi untuk membincangkan isu tarif berlandaskan semangat dan prinsip perdagangan bebas.

Anwar berkata perbualan itu turut menyentuh siri rundingan yang sedang berlangsung antara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama Wakil Perdagangan AS dan Setiausaha Perdagangan AS.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan