AM > BERITA

PELEPASAN AIR EMPANGAN BERIS AKAN DILAKUKAN SECARA BERKALA - MB KEDAH

24/07/2024 05:50 PM

ALOR SETAR, 24 Julai (Bernama) -- Pelepasan air dari Empangan Beris di Sik akan dilakukan secara berkala bagi menstabilkan semula paras air di Sungai Muda yang menjadi sumber bekalan air bagi Kedah dan Pulau Pinang.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata pelepasan air dari empangan itu telah dilakukan empat hari lepas membabitkan 10 juta meter padu air ke Sungai Muda.

Beliau berkata langkah itu susulan permintaan Pulau Pinang yang menghadapi penyusutan paras air di Sungai Muda di muka sauk Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) di Lahar Tiang dekat Bukit Mertajam.

Muhammad Sanusi berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Kedah di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya dimaklumkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan melaksanakan operasi pembenihan awan dalam masa terdekat bagi menstabilkan paras air di Sungai Muda.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP K. Pathmamathan dilaporkan berkata aras Sungai Muda di muka sauk PBAPP di Lahar Tiang telah turun di bawah paras selamat.

Menurut Pathmamathan, Kedah mempunyai pilihan untuk melepaskan lebih banyak air dari Empangan Beris bagi meningkatkan paras Sungai Muda dan langkah itu akan mengelakkan sebarang isu besar di 14 loji rawatan air (LRA) di Kedah dan LRA Sungai Dua di Pulau Pinang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan