AM > BERITA

PAAB PERUNTUK RM12,500 NAIK TARAF KEMUDAHAN AIR MASJID KARIAH KAMPUNG JIMAH LAMA

25/07/2024 05:24 PM

PORT DICKSON, 25 Julai (Bernama) -- Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) menerusi kempen Masjid Hijau memperuntukkan RM12,500 bagi kerja menaik taraf kemudahan air di Masjid Kariah Kampung Jimah Lama dekat sini.

Ketua Pegawai Eksekutif PAAB Ir Zulkiflee Omar berkata kerjasama dengan Malaysia Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) melakukan pemasangan pili cekap air, Sistem Pengumpulan Air Hujan (SPAH) serta pemasangan sistem agihan dan tekanan di masjid berkenaan.

Beliau berkata program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kempen Masjid Hijau ini susulan kejayaan program di Melaka pada 2022, manakala tahun berikutnya di Kelantan yang melibatkan kos keseluruhan termasuk di negeri ini berjumlah RM97,500.

"Penganjuran program ini ialah usaha menjadikan masjid sebagai pemangkin kepada kelestarian alam. Penggunaan air amat kritikal di sesebuah masjid termasuk untuk kegunaan berwuduk, mandi jenazah, penggunaan tandas dan kerja pembersihan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program CSR Kempen Masjid Hijau PAAB 2024 yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MGTC Ts Shamsul Bahar Mohd Nor.

Zulkiflee berkata pemasangan SPAH di masjid itu membolehkan air hujan dimanfaatkan bagi kerja pembersihan masjid, manakala sistem agihan dan pam dipasang bertujuan meningkatkan tekanan air lemah di beberapa tempat mengambil wuduk sekali gus memudahkan ahli kariah beribadah.

"Penambahbaikan fasiliti ini diselia oleh MGTC, agensi itu turut memantau pematuhan hijau di masjid dari semasa ke semasa sehingga mendapat penafaran diamond menerusi Program Cabaran Rendah Karbon 2030," katanya.

Beliau berkata PAAB turut menyalurkan dana RM5,000 kepada masjid berkenaan untuk meningkatkan semangat ahli kariah mengamalkan amalan lestari dalam rutin harian.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan