AM > BERITA

KKM BELANJA HAMPIR RM250 JUTA UNTUK LAKSANA 'KHIDMAT LUAR' PESAKIT JANTUNG KE IJN

25/07/2024 07:26 PM

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) membelanjakan RM248.97 juta untuk melaksanakan khidmat luar (outsource) 93,495 pesakit jantung kepada Institut Jantung Negara Sdn Bhd (IJNSB) sejak Januari tahun ini hingga 31 Mei lepas.

KKM menerusi jawapan lisan di Dewan Negara yang dimuat naik dalam laman sesawang Parlimen berkata perbelanjaan rawatan itu melibatkan pesakit jantung daripada golongan kakitangan kerajaan, pesara Persekutuan dan juga pesakit kurang mampu.

“Bagi 2023, jumlah bilangan lawatan pesakit jantung di IJNSB adalah 233,885 dan perbelanjaan kerajaan dalam menanggung kos rawatan adalah RM606.52 juta,” kata KKM dalam jawapan lisan bagi menjawab pertanyaan Senator Datuk Mustafa Musa yang ingin tahu jumlah pesakit jantung seluruh negara dan jumlah tanggungan kos ubatan, rawatan dan perkhidmatan pakar bagi tahun lepas dan tahun ini.

Tahun lepas KKM membelanjakan RM316 juta untuk menampung kos perolehan ubat-ubatan yang diperlukan bagi rawatan penyakit jantung manakala bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini RM130 juta.

KKM berkata berdasarkan Pusat Informasi Kesihatan (PIK) 259,259 pesakit jantung menerima rawatan pesakit dalam di hospital kerajaan seluruh negara pada 2023 dan 641,590 pesakit lagi menerima rawatan pesakit luar manakala 450,960 pesakit menerima rawatan di klinik kesihatan.

Sementara itu menjawab soalan Senator Dr A Lingeshwaran berhubung bilangan jururawat dan jururawat masyarakat yang meletak jawatan atau bersara dari 2014 hingga 2023, KKM berkata ia melibatkan 5,778 orang.

Ini meliputi jururawat Gred U29 (2,284 orang); Gred U32 (2,102 orang); Gred U36 (462 orang) dan Gred U41 hingga U54 (161 orang) manakala bagi jururawat masyarakat, ia merangkumi Gred U24 dan U26 (393 orang) dan Gred U19 (376 orang).

Persidangan Dewan Negara ditangguh petang ini dan akan disambung semula Isnin depan.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan