AM > BERITA

YAPEIM BERHASRAT GUNA KHIDMAT PUSAT KECEMERLANGAN BERNAMA LATIH PETUGAS

25/07/2024 09:15 PM

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) berhasrat menggunakan khidmat Pusat Kecemerlangan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) untuk melatih petugasnya dalam penulisan di media sosial.

Ketua Pegawai Eksekutif YaPEIM Ameer Ali Vali Mohamed berkata pihaknya menganggap Bernama sebagai guru dalam bidang kewartawanan dan diyakini mampu membimbing para petugasnya menyebar luas fungsi serta aktiviti yayasan itu.

“Pepatah mengatakan belajar dari buaian hingga ke kubur, pembelajaran tidak akan berhenti kerana sentiasa ada perkara dan perkembangan terbaru. 

"Kami ingin tahu cara penulisan untuk media sosial memandangkan setiap daripadanya (media sosial) mempunyai cara menulis yang berbeza,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke Wisma Bernama hari ini.

Turut hadir pada sesi itu Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Nasriah Darus dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Azlina Aziz.

Mengenai kunjungan hari ini, Ameer Ali berkata pelbagai perkara dibincangkan termasuk kerjasama strategik yang boleh dilakukan antara YaPEIM dan Bernama terutama berkaitan infak.

Beliau berkata YaPEIM adalah institusi infak di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

"Kunjungan hari ini adalah bagi membincangkan apa kerjasama strategik yang boleh dilakukan oleh Bernama dan YaPEIM.

“Diharapkan agar usaha dan kolaborasi ini berjalan dengan baik untuk memberi manfaat kepada dua-dua pihak,” katanya.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan