AM > BERITA

NIBM, CANSINO BIOLOGICS METERAI KERJASAMA PEMBANGUNAN VAKSIN MANUSIA

25/07/2024 09:39 PM

PUTRAJAYA, 25 Julai (Bernama) -- National Institutes of Biotechnology Malaysia (NIBM) dan syarikat CanSino Biologics Inc dari China telah menandatangani perjanjian kerjasama (MoA) penyelidikan bersama bagi pembangunan platform vaksin manusia.

Memorandum perjanjian itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif NIBM Prof Datuk Dr Raha Abdul Rahim dan Wang Hong Yi yang mewakili CanSino Biologics serta disaksikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang dan Penasihat Menteri (Menteri Kaunselor) Kedutaan Besar China ke Malaysia Chen Youliang.

Chang berkata kerjasama itu memfokuskan kepada penyelidikan bersama bagi pembangunan platform vaksin manusia, pertukaran penyelidik, pemindahan teknologi dan biopembuatan hingga ke peringkat pengujian makmal.

“Memorandum perjanjian ini dijangka akan memperkukuhkan hubungan sedia ada kedua-dua negara khususnya antara NIBM dan CanSino Biologics melalui kerjasama yang lebih strategik,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini.

Beliau berkata kerjasama itu seiring dengan hasrat negara melalui Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) untuk mengeluarkan vaksin manusia sendiri menjelang 2030. 

Menurut Chang, usaha itu sedang digerakkan Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI) sebagai agensi pelaksana di bawah NIBM, Pejabat Pengurusan Projek Pembangunan Vaksin Malaysia (MVPO), rakan penyelidik di institusi penyelidikan dan institusi pendidikan tinggi lain.

CanSino Biologics Inc ialah syarikat biopharma dunia yang telah ditubuhkan pada 2009 dan berpengalaman menghasilkan vaksin untuk kegunaan manusia seperti COVID-19, Meningococcal dan Ebola. 

MOSTI memaklumkan kepakaran CanSino Biologics amat berharga untuk Malaysia manfaatkan menerusi kerjasama penyelidikan bersama pihak MGVI-NIBM dalam pembangunan calon vaksin yang menggunakan platform mRNA.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan