AM > BERITA

Langkah proaktif, KPI kunci anak syarikat KKDW catat keuntungan - Ahmad Zahid

26/07/2024 05:00 PM

KOTA TINGGI, 26 Julai (Bernama) -- Langkah proaktif, penetapan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan hala tuju yang jelas serta pendekatan Profit Centre Thinking menjadi kunci kepada anak syarikat agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk mencatat keuntungan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, prestasi anak syarikat di bawah KKDW melonjak dengan cepat kerana tadbir urus dan tatakelola mengikut piawaian ditetapkan Kementerian Kewangan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Pekeliling Perbendaharaan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata KKDW turut menambah beberapa prosedur operasi standard (SOP) terutama dari segi pulangan kepada pelaburan (ROI) yang berasaskan prinsip untuk menukarkan anak syarikat di bawah kementerian menjadi pusat keuntungan berbanding pusat kos.

“Didapati bahawa semua syarikat telah mencapai prestasi yang diharapkan dan syarikat-syarikat ini tiada yang rugi tetapi belum membuat keuntungan.

“Saya yakin dengan penggabungan dan sinergi yang telah saya arahkan enam bulan lepas, kita akan melihat 100 peratus syarikat di bawah KKDW akan memberikan pulangan keuntungan dalam bentuk dividen kepada badan induk agensi yang ditubuhkan itu,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan rumusan Program Pemukiman KKDW di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata antara anak syarikat yang melaporkan keuntungan ialah RISDA Estate Sdn Bhd sebanyak RM7.1 juta, Kolej RISDA Sdn Bhd (RM1.26 juta), Sinergi Perdana Sdn Bhd (RM6.3 juta), KETENGAH Holding (RM8.66 juta), KETENGAH Perwira Sdn Bhd (RM14 juta) dan PERDA Venture Incorporated (RM2.7 juta).

Beliau berkata KKDW juga menyasarkan semua lembaga kemajuan wilayah di bawah kementerian itu mampu membiayai kos pengurusan dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) tanpa suntikan belanjawan daripada Kementerian Kewangan dan KKDW dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Bajet untuk KKDW bagi 2024 ialah RM11.55 bilion, saya fikir untuk 10 tahun akan datang satu peratusan tertentu (pengurangan bajet) akan dapat kita unjurkan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan