AM > BERITA

Elak dapatkan nasihat, letak harapan kepada bomoh - Mohd Na'im

27/07/2024 05:02 PM

KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Umat Islam dinasihatkan mengelak daripada mendapatkan nasihat dan meletakkan harapan kepada bomoh kerana dikhuatiri akan menjejaskan akidah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata umat Islam sepatutnya meletakkan segala harapan serta kebergantungan kepada Allah SWT.

“Kita mahu lahirkan masyarakat MADANI dan umat Islam yang meletakkan segala harapan serta kebergantungan kepada Allah SWT...Allah sahajalah tempat kita mengadu nasib apabila menghadapi kesusahan.

“Elakkan diri daripada mendapat nasihat dan meletakkan harapan kepada bomoh sebab kalau silap langkah, ia akan melibatkan soal akidah dan dibimbangi termasuk dalam golongan yang melakukan perbuatan syirik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Santuni MADANI: Mini Karnival Kampung Angkat MADANI di Kampung Baru di sini yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Sebelum ini, media melaporkan ibu kepada Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain yang meninggal dunia akibat dibuli dan didera tujuh tahun lepas, meluahkan rasa kesal terhadap bomoh didakwa menjadi punca kepada kes itu.

Dalam kejadian itu, nama Allahyarham dilapor telah disebut seorang bomoh kononnya terlibat dalam kes kehilangan komputer riba milik salah seorang penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menyebabkan mangsa dipukul beramai-ramai.

Selasa lepas, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas enam bekas penuntut UPNM kerana membunuh Zulfarhan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan