AM > BERITA

MyIPO terima 64,000 permohonan daftar harta intelek

27/07/2024 05:17 PM

GUA MUSANG, 27 Julai (Bernama) -- Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) menerima sebanyak 64,000 permohonan pendaftaran bagi tempoh awal Januari hingga kini.

Pengerusinya Dr Mohd Zuhan Mohd Zain berkata MyIPO menjangkakan permohonan akan meningkat dalam tempoh tiga atau empat bulan akan datang. 

Beliau berkata permohonan merangkumi keseluruhan lima komponen pendaftaran harta intelek iaitu paten, cap dagangan, reka bentuk perindustrian, hak cipta dan petunjuk geografi. 

“Semua pemohon boleh mendaftar secara dalam talian mengikut pilihan komponen yang diingini. Selain itu, mereka juga boleh hadir ke kaunter-kaunter di seluruh negara atau mendaftar dengan ejen-ejen bertauliah yang dilantik oleh MyIPO," katanya kepada pemberita pada taklimat pengenalan harta intelek dan penyampaian zakat wakalah MyIPO kepada pelajar asnaf, di sini, hari ini.

Mohd Zuhan berkata permohonan pendaftaran hak cipta di kaunter meningkat 300 peratus apabila pemohon mendapat sijil dalam tempoh 30 minit berbanding sebelum ini memakan masa sehingga enam bulan.

Beliau berkata pemohon bagaimanapun perlu mendapatkan khidmat konsultasi terlebih dahulu bagi permohonan harta intelek yang rumit.  

“Pemohon boleh berjumpa ejen atau perunding MyIPO untuk membuat pendaftaran harta intelek yang susah seperti paten," katanya dan menambah MyIPO berkolaborasi bersama Universiti Malaysia Kelantan dan Universiti Sultan Zainal Abidin di Terengganu untuk memberikan konsultasi berkaitan hal itu di negeri terbabit.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan