AM > BERITA

Pusat Beli-belah SACC Dinaik Taraf Bermula Suku Pertama 2026 - PKNS

27/07/2024 08:54 PM

SHAH ALAM, 27 Julai (Bernama) -- Pusat beli-belah SACC (Shah Alam City Centre) akan dinaik taraf kepada pusat pameran bertaraf dunia bermula suku pertama 2026 sebagai sebahagian daripada perancangan pembangunan Projek SA Sentral di Seksyen 14, di sini.

Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dalam kenyataan memaklumkan projek SA Sentral yang akan dibangunkan secara berfasa itu dijangka mengambil masa 10 tahun untuk disiapkan. 

Menurut PKNS projek pembangunan itu akan melibatkan beberapa plot di kawasan Seksyen 14 termasuk Pusat Konvensyen SACC serta penaiktarafan dan penjenamaan semula Plaza Alam Sentral, dan Plaza Perangsang.

“PKNS merancang untuk membangunkan SA Sentral bagi tujuan peremajaan pusat bandar Seksyen 14, Shah Alam sebagai daerah pusat perniagaan (CBD) di atas tanah seluas 64.7 hektar.

“SA Sentral akan menampilkan pembangunan kediaman, komersial, pejabat, taman rekreasi, perpustakaan, stesen Transit Aliran Ringan (LRT) serta pusat pameran antarabangsa tersebut,” menurut kenyataan itu. 

PKNS dalam kenyataan sama memaklumkan, pembangunan SA Sentral juga melibatkan pembinaan pusat kebudayaan dan pelancongan menerusi projek The Spine yang terletak di pusat bandar Seksyen 14 bagi mewujudkan hab kebudayaan dan kesenian.

The Spine bakal menghubungkan Kompleks PKNS Shah Alam, Pusat Konvensyen Shah Alam, dan juga projek pembangunan yang akan datang seperti pangsapuri kediaman serta hotel.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan