AM > BERITA

Wcit 2024: Pengguna Ambil Peluang Jualan Rahmah Madani Beli Minyak Masak, Beras

29/07/2024 02:37 PM

IPOH, 29 Julai (Bernama) -- Penduduk sekitar Ipoh tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih murah di Jualan Rahmah MADANI Mega bersempena Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) 2024.  

Mohamad Tarmizi Ramli, 63, berkata membeli barang dengan harga mampu milik menjadi harapan rakyat sepanjang masa dan dia datang seawal 9 pagi untuk membeli beras serta minyak masak bersubsidi.

"Saya tahu tentang Jualan Rahmah MADANI hari ini daripada WhatsApp dan pagi ini ambil kesempatan untuk dapatkan sekampit beras lima kilogram pada harga RM14.60 dan minyak masak RM2.50 sepeket yang dihadkan dua peket seorang. 

"Jualan Rahmah antara yang kami sering nantikan terutama untuk membeli beras kerana harga di pasar raya atau kedai biasa lebih mahal berbanding yang dijual pada program ini," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sementara itu, suri rumah Syarmalini Sharif Ali, 49, berkata walaupun diadakan pada hari bekerja, namun tidak menghalang pengguna untuk mengunjungi program berkenaan. 

"Hari ini saya teman ibu saya membeli barangan keperluan asas dan memang kami cari minyak masak bersubsidi, beras, ayam dan telur yang memang murah dari harga di luar.  

"Terima kasih kepada kerajaan kerana masih terus menganjurkan program yang beri manfaat kepada kami sebagai pengguna kerana boleh berjimat serta mendapatkan barangan pada harga berpatutan," katanya. 

Maria Samsul Rijal, 42, dari Batu Gajah pula berkata jualan barangan keperluan asas pada Jualan Rahmah MADANI sangat membantu golongan sepertinya mengurangkan perbelanjaan kerana harga barangan yang dijual jauh lebih murah berbanding di pasar raya.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata program berkenaan sentiasa dinantikan dan dia tidak akan melepaskan peluang ke program itu jika dianjurkan berhampiran rumah.

"Terpulang kepada pengguna itu sendiri dalam menguruskan perbelanjaan keluarga mereka, mungkin ada yang suka berbelanja di pasar raya, namun bagi saya jika ada Jualan Rahmah saya boleh mendapatkan pelbagai barangan yang ditawarkan antara 10 hingga 30 peratus lebih murah daripada harga pasaran.

"Malah, di sini (Jualan Rahmah) pun terdapat pelbagai vendor seperti AEON, Segi Fresh dan lain-lain syarikat yang menawarkan harga berpatutan. Barang basah seperti udang putih besar yang dijual pada harga RM26 sekilogram berbanding RM31 dan sudah pasti menjimatkan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan