AM > BERITA

Isu Jualan Saham KPF Akan Selesai Dalam Tempoh Enam Hingga Sembilan Bulan - Ahmad Shabery

30/07/2024 10:03 AM

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Semua bayaran penjualan saham kepada ahli-ahli Koperasi Permodalan Felda Malaysia Bhd (KPF) yang tertangguh sejak tahun lepas akan diselesaikan dalam tempoh enam hingga sembilan bulan, kata Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata penjualan saham ahli KPF itu akan mengambil sedikit masa berikutan aset pelaburan dan modal koperasi itu yang kini bernilai lebih RM4 bilion sedang distruktur semula dan akan dicairkan.

“Perkara paling penting, KPF bukan koperasi berpenyakit yang mempunyai banyak hutang dan tiada sandaran aset. Asetnya besar (bernilai) kira-kira RM4 bilion. Cuma yang menjadi isu baru-baru ini ialah berkaitan mencari kecairan aset bernilai lebih RM200 juta.

“Kita akan susun balik perkara ini kerana pegangan saham yang kecil-kecil itu distrukturkan supaya ada kecairan kira-kira RM208 juta, cukup untuk menyelesaikan perkara tersebut (isu jualan saham ahli KPF),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan KPF ke-43 hari ini.

Turut hadir Pengerusi KPF Raja Faridah Raja Ahmad dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Amran Abd Kadir.

Pada Mei lepas, sekumpulan ahli KPF menyerbu pejabat itu di Jalan Semarak di sini untuk menuntut penjelasan mengenai kelewatan pembayaran jualan saham dan dividen sejak tahun lepas.

KPF kemudian memberi jaminan akan menyelesaikan bayaran jualan saham anggotanya dari Feb hingga Julai 2023 menjelang akhir Mac 2024.

Bagi jualan saham selebihnya, koperasi itu memaklumkan bayaran akan dibuat secara berkala mengikut ketersediaan tunai serta keutamaan akan diberikan kepada pemohon yang benar-benar memerlukan.

Sementara itu, Raja Faridah berkata KPF telah mula membayar jualan saham anggotanya bermula semalam berjumlah kira-kira RM17 juta.

Beliau menjelaskan kelewatan pembayaran itu disebabkan kekangan aliran tunai berikutan kebanyakan tunai terletak dalam aset.

“Oleh sebab itu, kita perlu menstruktur semula dan kita perlu cairkan (aset) untuk melepaskan tunai ini,” katanya.

Terdahulu, Raja Faridah dalam ucapannya berkata antara tindakan utama yang sedang dilakukan KPF ialah mengenal pasti dan mencairkan aset yang tidak menjana pulangan sepatutnya serta menjual ladang koperasi di Samarahan, Sarawak.

Katanya KPF turut menstruktur semula pelaburan korporat dalam anak syarikat kumpulan Felda serta mengenal pasti peranan koperasi itu dan peluang perniagaan dalam kumpulan Felda.

“Usaha sedang giat dijalankan bersama anak syarikat kumpulan Felda supaya inisiatif ini dapat dilaksanakan sepenuhnya sebelum akhir tahun ini.

“Ini untuk memastikan ketersediaan pulangan daripada pelaburan tetap ini bagi menentukan pulangan kepada anggota pada tahun akan datang, bermula 2025,” katanya.

Mengulas mengenai Hari Peneroka 2024, Ahmad Shabery menafikan bahawa penganjuran sambutan itu diadakan secara besar-besaran dengan menggunakan dana KPF.

“Esok bermulanya sambutan Hari Peneroka. Saya nak menjelaskan ada banyak (persoalan) yang timbul kenapa dibuat secara besar-besaran. (Ada pertanyaan) mereka hendak tebus saham KPF tetapi buat sambutan besar-besaran.

“Tiada kena mengena (penganjuran Hari Peneroka dengan dana KPF). Saya tidak minta satu sen pun daripada KPF dalam soal ini,” katanya.

Hari Peneroka 2024 akan berlangsung esok hingga Ahad ini di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan