AM > BERITA

Kerajaan Lulus RM100 Juta Tambah Baik Fasiliti Keselamatan Sempadan Di Utara Semenanjung - Anwar

30/07/2024 12:03 PM

PUTRAJAYA, 30 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan tambahan RM100 juta untuk penambahbaikan fasiliti keselamatan di sempadan utara Semenanjung melibatkan Kedah, Perlis dan Kelantan.

Dalam mengambil kira keadaan daif kebanyakan fasiliti keselamatan terutama di sempadan utara negara, Anwar berkata beliau telah mengarahkan supaya proses pengurusan dan kewangan bagi tujuan itu dipercepatkan

"Ada keperluan (tambah baik) di utara Semenanjung. Pada 3 Ogos ini saya akan bertemu Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin di Golok dan Rantau Panjang untuk membincangkan soal keselamatan sempadan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi di utara Semenanjung dan selatan Thailand," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Bulan Keselamatan Negara 2024, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Digital Gobind Singh Deo dan Ketua Pengarah Keselamatan Negara Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin.

Sementara itu Anwar berkata pembangunan infrastruktur asas di sempadan Sarawak-Kalimantan susulan pembangunan ibu kota negara Indonesia, Nusantara perlu diberi tumpuan dan program tindakannya tidak boleh dilengahkan.

Justeru Perdana Menteri berkata beliau mahu laporan terkini dibentangkan kepada beliau dalam mesyuarat Kabinet Khamis ini mengenai perkembangan pembangunan kawasan berkenaan.

Pada 20 Januari tahun lepas, kerajaan mengumumkan peruntukan berjumlah RM1 bilion bagi membangunkan infrastruktur asas di sempadan Sarawak-Kalimantan susulan pembangunan ibu kota negara Indonesia yang baharu itu.

Peruntukan itu bagi membina Kompleks Imigresen Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) serta jalan raya di kawasan berdekatan sempadan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan