AM > BERITA

Pemandu Pelancong Yang Tunggu Kelulusan Perbaharui Lesen Tidak Akan Dikompaun - MOTAC

31/07/2024 01:15 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) tidak akan mengenakan sebarang kompaun kepada pemandu pelancong yang sedang menunggu kelulusan untuk memperbaharui lesen serta kad kuasa mereka daripada pihak kementerian sekiranya permohonan dibuat dalam tempoh yang ditetapkan.

MOTAC dalam kenyataan hari ini berkata pemandu pelancong berkenaan boleh menghubungi pejabat MOTAC Negeri bagi mendapatkan penerangan lanjut serta memastikan mereka tidak dikenakan tindakan undang-undang semasa menunggu proses memperbaharui lesen itu selesai.

MOTAC seterusnya menyarankan agar pemandu pelancong berlesen ini menghadiri kursus-kursus pemantapan kompetensi seperti kursus Continuing Tourism Related Education (CTRE) sebagai pra-syarat memperbaharui lesen nanti, di samping mengemukakan permohonan untuk memperbaharui lesen dalam tempoh ditetapkan, selaras dengan Seksyen 32, Akta 482.

“Kursus CTRE ini adalah latihan atau kursus berterusan yang bertujuan menambah ilmu pengetahuan serta meningkatkan kualiti perkhidmatan pemandu pelancong,” menurut kenyataan itu. 

MOTAC berkata pemandu pelancong yang beroperasi tanpa lesen sah atau dengan lesen tamat tempoh, dan belum mengemukakan permohonan untuk memperbaharuinya, boleh dikenakan tindakan undang-undang.

MOTAC memandang serius perkhidmatan pemandu pelancong yang beroperasi tanpa lesen atau lesen tamat tempoh kebelakangan ini.

Menerusi Operasi Bersepadu Kenderaan Pelancongan dan Kenderaan Perkhidmatan Awam yang dilancarkan sejak 2 Julai lepas, 12 notis pemeriksaan telah dikeluarkan di bawah Seksyen 21, Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).

Seksyen 21 Akta 482 menetapkan tiada seorang pun boleh bertindak, atau menganjurkan dirinya, sebagai seorang pemandu pelancong melainkan dia dilesenkan di bawah akta tersebut.

Pelanggaran peruntukan menjadi suatu kesalahan dan pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM7,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Semua permohonan lesen baharu dan pembaharuan lesen boleh dikemukakan secara dalam talian melalui sistem Tourism Licensing & Enforcement System (TOURLIST) di laman http://www.tourlist.gov.my.

Jika tidak menerima sebarang maklum balas, pemohon dinasihatkan menghubungi MOTAC untuk bantuan lanjut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan