AM > BERITA

Jumlah Penduduk Malaysia Dianggarkan 34.1 Juta Pada 2024 - Dosm

31/07/2024 05:52 PM

PUTRAJAYA, 31 Julai (Bernama) -- Jumlah penduduk Malaysia pada 2024 dianggarkan 34.1 juta berbanding 33.4 juta pada 2023 dengan kadar pertumbuhan 1.9 peratus, menurut laporan Anggaran Penduduk Semasa Malaysia 2024 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata penduduk warganegara meningkat daripada 30.4 juta pada 2023 kepada 30.7 juta pada 2024 dengan kadar pertumbuhan lebih perlahan 0.7 peratus berbanding 0.8 peratus pada tahun sebelumnya.

“Penduduk bukan warganegara menunjukkan trend yang sama dengan kadar pertumbuhan lebih perlahan iaitu 13.6 peratus pada 2024 berbanding 17.1 peratus pada 2023,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata tiga negeri yang mencatatkan peratusan komposisi penduduk tertinggi pada 2024 ialah Selangor dengan 21.6 peratus diikuti Johor (12.3 peratus ) dan Sabah (11.0 peratus); namun Labuan dan Putrajaya mencatatkan peratusan komposisi penduduk terendah iaitu masing-masing pada 0.3 peratus dan 0.4 peratus.

Komposisi penduduk berumur 0 hingga 14 tahun (umur muda) pada 2024 pula menurun kepada 22.2 peratus berbanding 22.7 peratus pada 2023.

Beliau berkata komposisi penduduk berumur 15 hingga 64 tahun (umur bekerja) meningkat daripada 69.9 peratus pada 2023 kepada 70.1 peratus pada 2024, manakala peratusan penduduk berumur 65 tahun dan lebih (umur tua) meningkat daripada 7.4 peratus kepada 7.7 peratus bagi tempoh sama.

Mohd Uzir berkata golongan Bumiputera menyumbang 70.4 peratus daripada 30.7 juta warganegara pada 2024, namun komposisi kaum Cina dan India masing-masing menurun kepada 22.4 peratus dan 6.5 peratus, manakala lain-lain kekal pada 0.7 peratus.

Pada 2023 peratusan golongan Bumiputera adalah 70.1 peratus, kaum Cina (22.6 peratus) dan India (6.6 peratus).

Dari segi nisbah jantina, beliau berkata bilangan lelaki melebihi wanita iaitu masing-masing 17.9 juta dan 16.2 juta pada 2024, dengan nisbah jantina bagi keseluruhan penduduk adalah 111 lelaki bagi setiap 100 wanita.

“Secara keseluruhan, kesemua negeri di Malaysia mencatatkan bilangan lelaki melebihi wanita, kecuali bagi negeri Perlis (nisbah 99:100) dan Putrajaya (98:100),” katanya.

Negeri yang mencatatkan nisbah bilangan lelaki lebih tinggi adalah Kuala Lumpur dengan 117 lelaki bagi setiap 100 wanita, diikuti oleh Johor (116), Selangor (115) dan Pahang (114).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan