AM > BERITA

Labuan Bakal Anjur Festival Kesenian Borneo, 'Remembrance Day'

31/07/2024 06:55 PM

LABUAN, 31 Julai (Bernama) -- Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) bakal menganjurkan dua acara utama iaitu Festival Kesenian Borneo (BAF) dan Remembrance Day yang dijangka menarik kira-kira 10,000 pengunjung.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan (LC) Rithuan Ismail berkata BAF dijadualkan dari 27 hingga 29 Sept dan Remembrance Day pada 11 Nov.

"Festival kesenian sering berjaya membawa masuk pengunjung ke Labuan dan tahun ini kami berharap kedua-dua acara ini dapat menarik kedatangan ribuan pelancong,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Rithuan berkata BAF akan mengetengahkan bakat dari Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).

Festival itu juga bertujuan meraikan bakat seni tempatan daripada semua peringkat umur dan budaya selain menyediakan peluang kepada pengunjung untuk menikmati muzik, tarian dan karya seni asli Borneo.

“Selain itu, festival seni menyediakan platform kepada persatuan seni dan budaya, kanak-kanak sekolah, dan institusi akademik untuk mempamerkan bakat mereka dalam koreografi budaya dan rekaan ‘busana’,” katanya.

Antara acara kemuncak BAF ialah Tarian Kreatif Borneo, Pertandingan Tingkah Geruh dan Pertandingan Rekaan Fesyen Kostum Kebangsaan Kontemporari.

Mengenai acara Remembrance Day iaitu hari memperingati wira yang gugur di medan peperangan,  Rithuan berkata acara itu bagi mengenang pengorbanan 3,908 anggota tentera yang terkorban dalam Perang Dunia Kedua.

Beliau berkata LC bertanggungjawab untuk menyelaras dan memastikan acara itu berjalan lancar sekali gus dapat menyumbang kepada sektor pelancongan dan kebudayaan di pulau itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan