AM > BERITA

MAHB Lantik Mohd Izani Ghani Sebagai Pengarah Urusan Kumpulan

31/07/2024 08:01 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Mohd Izani Ghani sebagai pengarah urusan kumpulan berkuatkuasa pada 1 Ogos, 2024.

Dalam kenyataannya, MAHB berkata Mohd Izani yang dinamakan oleh Kementerian Kewangan untuk jawatan itu, merupakan bekas ahli Lembaga Pengarah dan berkhidmat selama sembilan tahun pada 2011 hingga 2019.

“Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Ekonomi) dengan pengkhususan dalam Perakaunan dan Kewangan London School of Economics and Political Science, United Kingdom.

“Selain itu, beliau berpengalaman luas selama lebih tiga dekad dalam pelaburan dan pengurusan. Sebelum pelantikannya di MAHB, beliau berkhidmat sebagai pengarah urusan UEM Group Bhd sejak 1 Ogos, 2019, susulan pelantikan awal sebagai pengarah eksekutif pada 1 Jan, 2019,” kata MAHB.

Sebelum berkhidmat di UEM Group, Mohd Izani menggalas tanggungjawab sebagai pengarah eksekutif pelaburan di Khazanah Nasional Bhd dan menerajui Pejabat Wilayah Turkiye dan mengetuai beberapa urus niaga sukuk penting selaku ketua pegawai kewangan. 

Sementara itu, Pengerusi MAHB Dr Nungsari Ahmad Radhi turut berkongsi keyakinannya dan menyifatkan pengalaman Mohd Izani dalam sektor lapangan terbang dan infrastruktur selain kepimpinan yang telah terbukti, mampu memacu kumpulan ke arah pertumbuhan dan kejayaan berterusan.

Dalam pada itu, Lembaga Pengarah MAHB mengumumkan Ketua Pegawai Kewangan kumpulan Mohamed Rastam Shahrom akan melepaskan jawatannya pada 31 Julai, 2024, untuk peluang kerjaya baharu.

“Mohamed Rastam yang berkhidmat sebagai pemangku ketua pegawai eksekutif kumpulan sejak Oktober 2023, berperanan penting dalam mengukuhkan keadaan kewangan kumpulan dan melaksanakan inisiatif strategik bagi meningkatkan kecekapan operasi dan keuntungan.

"Kepimpinan dan visi beliau juga penting dalam mengemudi MAHB mengharungi cabaran susulan pandemik COVID-19,” kata MAHB.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan