AM > BERITA

Abdul Khudus Dilantik Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM

03/01/2025 09:23 PM

KUALA LUMPUR, 3 Jan (Bernama) -- Bekas Presiden Institut Audit Syariah Malaysia (IASM)  Abdul Khudus Mohd Naaim dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah (LPA) Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) berkuat kuasa 1 Jan lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Ketua Pengarah YAPEIM Ameer Ali Vali Mohamed, berkata pelantikan Abdul Khudus dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, dengan kelulusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ameer Ali berkata Abdul Khudus, 70, telah berkhidmat sebagai ahli LPA YAPEIM sejak 20 Mac 2023 dan beliau merupakan akauntan bertauliah.

“Beliau mempunyai pengalaman luas dalam bidang kewangan Islam, takaful, perakaunan, dan pengauditan. Sebelum ini, beliau pernah menyandang jawatan Presiden IASM (2019-2024), ahli panel akreditasi Finance Accreditation Agency (2012-2023), serta ahli jawatankuasa audit Majlis Agama Islam Perak (2009-2014).

“YAPEIM mengucapkan tahniah atas pelantikan ini dan berharap di bawah kepimpinan baharu, YAPEIM dapat terus dipacu ke arah pencapaian lebih tinggi, selaras dengan aspirasi Projek Najjah yang dilancarkan pada 2023,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, YAPEIM turut merakamkan penghargaan atas khidmat bakti Pengerusi LPA terdahulu, Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus, yang menyandang jawatan tersebut dari 7 Okt 2022 hingga 31 Dis 2024.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan