AM > BERITA

Ijn Perintis Pusat Rehabilitasi Jantung Berteknologi Tinggi Pertama Di Asia

31/07/2024 10:53 PM

KUALA LUMPUR,  31 Julai (Bernama) -- Institut Jantung Negara (IJN) melakar pencapaian terkini dalam penjagaan jantung menerusi pusat rehabilitasi baharu yang dilengkapi teknologi senaman pneumatik termaju. 

Dalam satu kenyataan hari ini, IJN memaklumkan kemudahan canggih itu menggabungkan inovasi dari Jerman, Finland dan Belanda sekali gus menawarkan kemudahan rawatan terbaik kepada pesakit.  

“Rehabilitasi jantung ialah program yang direka untuk membantu pesakit sembuh daripada pelbagai penyakit berkaitan jantung seperti serangan jantung dan pembedahan serta mengurangkan risiko serangan jantung pada masa hadapan.

“Program ini mempromosikan pendekatan holistik bagi penyembuhan dengan menggabungkan latihan senaman, nasihat pemakanan dan amalan gaya hidup sihat untuk kesihatan jantung,” menurut kenyataan itu.

Dengan kerjasama pakar rehabilitasi dari Finland dan pengeluar peralatan senaman HUR, pusat  itu menyediakan peralatan senaman pneumatik yang termaju.  

Tidak seperti sistem tradisional yang berasaskan berat, menurut IJN sistem pneumatik ini menggunakan tekanan udara untuk menghasilkan rintangan, menawarkan pengalaman senaman lebih lancar dan terkawal.

“Teknologi ini membantu mengurangkan ketegangan pada sendi dan mengurangkan risiko kecederaan selain menjadikan sesi senaman lebih efektif,” menurut kenyataan itu. 

Kelebihan mesin HUR yang diikuasakan oleh teknologi SmartTouch itu membolehkan input program latihan dan sasaran direkodkan selain sistem ini boleh diselaras secara automatik seperti ketinggian tempat duduk, rintangan dan ulangan serta merekodkan setiap kemajuan pergerakan.  

Pusat rehabilitasi itu juga dilengkapi sistem perisian Lode Cardiac Rehab Manager yang mampu merekodkan data seperti elektrokardiogram (ECG), kadar degupan dan kelajuan jantung hingga 16 pesakit dalam satu-satu masa.  

Selain itu, pusat berkenaan mempunyai pasukan perawat profesional terdiri pakar-pakar seperti kardiologi, fisioterapi, diet dan kesihatan mental yang dapat membantu penyembuhan secara fizikal mahupun emosi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan